Rabu, 5 Mei 2010

Pelancaran PADAT

SHAH ALAM, 5 Mei – Kerajaan Negeri akan mengadakan Majlis Pelancaran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan (Padat) di Stadium Malawati, Shah Alam malam ini.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, majlis itu akan disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Padat ditubuhkan pada 18 Jun tahun lalu bertujuan untuk membangun, memelihara dan menyebarkan adat Melayu serta warisan negeri secara meluas.

“Penubuhannya berkaitan dengan budaya masyarakat Selangor dan ia merangkumi sistem agama dan politik, adat istiadat, bahasa, perkakas, pakaian, bangunan dan karya seni,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Katanya, penubuhan badan itu juga adalah satu usaha untuk mengembalikan ‘persekitaran’ warisan serta adat budaya negeri ini.

“Di sebalik kemajuan, kita ketinggalan jiwa halus manusia terutama berkaitan adat budaya dan warisan negeri.

“Kita tidak mempunyai identiti budaya seperti yang ada di Bali ataupun di Jepun. Oleh itu kita perlu ‘menggali’ khazanah serta warisan yang kita ada supaya ia tidak hilang begitu sahaja,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan