Isnin, 27 Julai 2009

Pembakaran Terbuka Jerami Padi.

Pembakaran terbuka jerami padi adalah antara punca masalah jerebu yang melanda negeri Selangor, kata Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.
Justeru, kerajaan negeri telah mengarahkan petani supaya menghentikan pembakaran terbuka seumpama itu dan menggalakkan mereka memproses jerami untuk menambah pendapatan.
“Kita telah adakan satu program iaitu Program Pengurusan Jerami Padi di mana jerami padi digunakan sebagai baja kompos, pelapik “feet lot” lembu, bahan kajian untuk dijadikan makanan lembu dan bahan untuk digunakan sebagaii “soil erosion” untuk dijadikan bahan kitar semula dan sebagainya,” katanya.

Elizabeth berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias di persidangan dewan negeri Selangor pagi tadi.
Menurutnya, hanya pembakaran secara kecil-kecilan dibenarkan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Perintah Kualiti Alam Sekeliling Aktiviti yang diisytiharkan Pembakaran Terbuka 2003.

Antaranya, hendaklah dikeringkan dalam tempoh minimum 7 hari, pembakaran semasa cuaca kering antara 1 hingg 5 petang, dipantau dan dikawal rapi, tidak menyebabkan kacau ganggu penduduk berhampiran dan lapor kepada balai polis terdekat sebelum pembakaran.
Bagaimanapun, katanya, punca jerebu yang lebih besar adalah disebabkan pembakaran terbuka hasil penerokaan tanah secara haram.
Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa pelan tindakan telah diambil untuk memastikan kualiti udara di negeri ini tidak terjejas ekoran fenomena El Nino yang dijangka melanda Negara ini tidak lama lagi.

“Ini memang isu yang hangat khasnya kerana tahun ini mungkin Malaysia akan alami fenomena El Nino, pihak kerajaan telah bermesyuarat dengan Jabatan Alam Sekitar, pihak Bomba, Jabatan Pertanian, Jabatan Meteorolgi dan agensi-agensi lain untuk menangani pembakaran terbuka dan jerebu di Selangor,”

Tiada ulasan:

Catat Komen