Isnin, 1 November 2010

Daftar Pemilih baru Jadi Tumpuan

SHAH ALAM, 1 Nov – Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) Negeri Selangor berharap program Pendemokrasian Rakyat Selangor Fasa ke-2 akan memperkukuhkan keanggotaan ahli dan meningkatkan jumlah pendaftaran pemilih baru.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, misi program itu adalah meletakkan satu fokus dan kefahaman kerja ahli di peringkat akar umbi seluruh negeri.

“Saya menyeru semua petugas dan ahli Pas, KEADILAN dan DAP agar bangun daripada lamunan teruskan gerak kerja daripada sekarang kerana berkemungkinan besar Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) akan diadakan pada Jun 2011,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di Bangunan Jubli Perak di sini semalam.

Beliau berkata, program itu akan berjalan sepanjang tahun dan ditetapkan lapan minggu bagi proses pendaftaran pemilih baru serta setiap mereka yang bertugas perlu bertemu dengan penduduk setempat mengikut cawangan atau kawasan masing-masing.

“Semoga kerja-kerja ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa agar kemenangan Pakatan akan terus berkekalan untuk menerajui negeri ini dengan sebaiknya.

”PRU ke -13 adalah pilihan raya yang amat penting, oleh itu kita bertanggungjawab untuk memastikan kemenangan ini agar hasrat untuk mengambil Putrajaya akan tercapai demi membantu rakyat di Selangor ini khususnya,” katanya.

Beliau juga meminta semua peringkat pimpinan sentiasa bekerja keras dengan melakukan berbagai aktiviti untuk bertemu rakyat.

Katanya, pertemuan itu bukan dilakukan pada saat pilihan raya sahaja tetapi setiap waktu agar rakyat melihat peranan dan tanggungjawab yang dijalankan oleh saf pimpinan dan semua petugas PR.

Menurutnya, semua aktiviti di Unit Peti Undi (UPU) atau cawangan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dirancang ke arah pendaftaran pemilih baru atau pengundi muda.

Hasan berkata, sejak lebih 50 tahun terdapat sebilangan rakyat masih kabur dalam memahami prinsip-prinsip demokrasi dan perjuangan politik.

Katanya, ia terbukti apabila di Selangor sahaja, seramai 700, 000 rakyat yang layak mengundi belum lagi mendaftar sebagai pemilih dan orang Melayu merupakan golongan yang agak rendah kesedaran politik serta fahaman demokrasi.

“Sebab punca berlakunya buta kefahaman ini adalah disebabkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang seharusnya bertanggungjawab di atas situasi itu kerana parti itu menjadikan rakyat mandul pengetahuan serta tindakan terhadap demokrasi dan politik,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan