Isnin, 22 November 2010

Dato Ramli bersara wajib

SHAH ALAM, 22 Nov – Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, hari ini mengesahkan bahawa beliau akan melepaskan jawatannya selepas 25 tahun berkhidmat dalam kerajaan negeri berikutan tempoh persaraannya akan berkuat kuasa awal Januari tahun depan.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, sepanjang tempoh perkhidmatan Ramli, beliau berjaya menjalankan tugasnya dengan baik dan mempunyai idealisme yang mampu membebaskan penjawat awam daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Menurut Khalid, kerajaan negeri sedang mencari calon-calon yang berkelayakan bagi menjawat jawatan tersebut dalam tempoh terdekat ini.

“Kita sekarang dalam proses temu duga dan mencari mereka-mereka yang fikirkan mampu mengantikan setiausaha kerajaan negeri dan proses ini ada hubungannya dengan Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya.

Khalid berkata demikian selepas mempengerusikan Majlis Sambutan Hari Inovasi Pentadbiran Kerajaan Selangor Tahun 2010 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam , hari ini.

Khalid berkata, calon-calon tersebut haruslah terdiri daripada kalangan Pegawai Tinggi dari perkhidmatan Awam serta berkelayakkan memegang jawatan tersebut.

Dalam pada itu, Ramli turut menerima Anugerah Jasamu Dikenang atau AJD sebagai satu pengiktirafan khas yang diwujudkan bagi kakitangan yang telah berkhidmat melebihi tempoh 25 tahun dalam perkhidmatan awam sama ada yang masih berkhidmat atau pun akan bersara wajib pada tahun 2010.

Dan pada tahun ini, seramai 19 kakitangan yang masih berkhidmat dan 3 orang kakitangan yang telah bersara telah disenaraikan sebagai penerima AJD.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan