Jumaat, 28 Januari 2011

Kembali kuasa kepada Sultan, MB langkah tepat- Dr Manuty

PETALING JAYA 4 Jan – Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) yakin usaha mengembalikan kuasa perlantikan pegawai kanan eksekutif kepada Sultan dan Menteri Besar adalah langkah tepat memulihkan institusi Raja Berperlembagaan.

Ketua Penerangannya, Dr Mohd Nur Manuty berkata, KEADILAN menyokong penuh sidang tergempar Dewan Negeri Selangor (DNS) yang akan dipanggil dalam masa terdekat untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor dan mengembalikan kuasa melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang kepada yang berhak.

Umno-Barisan Nasional (BN) secara paksa telah mencabut kuasa perlantikan itu walaupun mendapat bantahan daripada Majlis Raja-Raja Melayu ketika krisis Perlembangaan 1993.

“KEADILAN berkeyakinan usaha mengambalikan semula kuasa perlantikan tiga pegawai eksekutif adalah langkah konkrit untuk mengangkat kembali martabat Institusi Raja Berperlembagaan sebagaimana yang diputuskan sebagai dasar bersama Pakatan Rakyat (Pakatan).

” KEADILAN merakamkan kesyukuran ke bawah DYMM Sultan Selangor yang telah memberi perkenan menyerahkan kembali urusan perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri kepada kebijaksanaan Menteri Besar Selangor untuk mencari jalan penyelesaian dengan pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA),” jelasnya dalam sidang media di ibu pejabat KEADILAN di sini hari ini.

Selangor diancam krisis perlembagaan selepas Kerajaan Pusat melantik bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor(Jais), Datuk Mohd Khusrin Munawi secara senyap.

Media melaporkan bahawa pihak istana memperkenankan perlantikan itu.

Semalam, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa baginda tidak mempunyai kuasa untuk menolak perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kerana kuasa sedemikian ditarik Umno-BN.

“Hakikatnya kuasa perlantikan para pegawai telah dihapuskan oleh Umno dalam pindaan perlembangaan secara paksa pada tahun 1983 dan 1993, meskipun telah ditolak oleh Majlis Raja-Raja Melayu ketika itu.

“Umno bersedia memperalatkan apa jua institusi negara demi mengekalkan kuasa dan pelbagai pengkhianatan yang dilakukan terhadap rakyat dan negara selama ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan