Selasa, 27 September 2011

10,000 Hadiri Majlis Pelancaran Selangorku

SUNGAI BESAR 27 SEPTEMBER : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan Program Selangorku merupakan satu usaha pemangkin dalam memastikan hala tuju negeri mencapai ke tahap yang membanggakan dan setiap kemajuan dapat dinikmati dan dikongsi bersama secara keseluruhan.

Jelasnya segala tindakan dan bentuk perancangan yang ingin dilakukan oleh kerajaan negeri mengambilkira kepentingan rakyat berdasarkan prinsip Hasil Negeri Untuk Rakyat.

“Diharapkan pelancaran logo Selangorku meningkatkan motivasi dan menambah ketekunan kita bekerja bagi menjayakan pelbagai rancangan dalam usaha melestarikan kemajuan negeri Selangor demi kesejahteraan dan kebagahiaan seluruh rakyat,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Pemimpin Bersama Rakyat Daerah Sabak Bernam danPelancaran Logo Selangorku yang berlangsung di Dataran Tonggak 10, Sabak Bernam.

Selangorku merupakan program hasil kesinambungan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang sebelum ini diperkenalkan Pakatan Rakyat (Pakatan) sejak mentadbir Selangor pada 2008.

Slogan Selangorku ini mengambil kira hasil perbincangan dan dialog bersama beberapa agensi kerajaan serta penyertan rakyat Selangor sendiri dan hasilnya logo Selangorku dilancarkan kepada rakyat oleh Menteri Besar pada 24 Julai 2011 di Stadium Melawati Shah Alam.

Ujar beliau lagi, logo Selangorku juga ingin dijadikan sebagai satu lambang penyatuan dan kesepaduan antara rakyat dengan kerajaan negeri dalam usaha melestarikan pembangunan negeri demi kemajuan yang mengutamakan kesejahteraan rakyat.

“Menerusi slogan ini kita mengajak seluruh rakyat Negeri Selangor untuk bersama bertanggungjawab dan mempertahankan usaha-usaha murni negeri melalui pentadbiran yang telus, amanah, adil dan bertanggungjawab,” katanya.

Jelasnya lagi, rakyat dinegeri ini juga mempunyai kebebasan untuk mengkritik dan memberikan pandangan terhadap kerajaan negeri dan perkara ini merupakan antara ciri-ciri yang terdapat di dalam Selangorku.

Program Khas Mesra Rakyat (PKMR) Daerah Sabak Bernam merupakan lawatan kerja sehari Menteri Besar dan pimpinan kerajaan negeri ke daerah ini yang turut diisi dengan pelbagai program bersama kakitangan awam dan rakyat.

Lebih 10,000 rakyat hadir memeriahkan majlis Aidilfitri ini walaupun berlangsung dalam suasana hujan renyai namun peluang ini tidak dilepaskan oleh masyarakat setempat untuk melihat dengan lebih dekat dan bergambar bersama barisan pimpinan kerajaan negeri.

Turut hadir barisan exco kerajaan negeri, Pegawai Daerah Sabak Bernam, Tuan Haji Zainal Mohd Nor, Yang diPertua Majlis Daerah Sabak Bernam, Tuan Zailani Kadir, jemputan khas, pemimpin setempat dan masyarakat di sekitar Sungai Besar.

Program Aidilfitri dan Pelancaran Logo Selangorku ini turut diserikan dengan persembahan nasyid daripada kumpulan nasyid Putra yang turut menghiburkan pengunjung yang hadir.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan