Rabu, 5 Oktober 2011

Indek Jenayah Turun 10%

BATU 38, 29 SEPTEMBER – Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Sabak Bernam mengakui, kepolisian masyarakat yang digerakkan di daerah itu banyak menyumbang kepada penurunan kadar jenayah.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Noor Mushar Mohamad berkata, sehingga semalam, indeks jenayah di Sabak Bernam mengalami penurunan sehingga 36 kes dengan 10.2 peratus.

Menurutnya, komitmen seratus peratus daripada jawatankuasa kepolisian masyarakat terutamanya melibatkan kepimpinan peringkat kampung berada pada tahap membanggakan dengan menyampaikan maklumat tepat mengenai sesuatu masalah di kawasan masing-masing.

“Masyarakat di kawasan ini semakin sedar terhadap tanggungjawab mereka untuk membantu polis bagi memastikan tiada sebarang jenis jenayah berlaku.

“Selain mewujudkan badan sukarela untuk membuat rondaan dan pemantauan terhadap kawasan masing-masing, mereka turut berperanan menyampaikan maklumat yang tepat dan cepat mengenai sebarang kejadian jenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kepolisian Masyarakat Daerah Sabak Bernam, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Kepolisian Masyarakat Kawasan Sabak Bernam, Datuk Dzulkifli Ismail.

Dalam perkembangan sama, Noor Mushar berkata, penurunan kadar jenayah di daerah itu turut dibantu Ops Payung yang diletakkan di tiga lokasi iaitu di Pekan Sabak, Sungai Besar dan Sekinchan.

Jelas beliau, dengan adanya Ops Payung di kawasan pekan, kadar jenayah di kawasan itu dapat dikurangkan, bagaimanapun, apabila tumpuan diberikan di kawasan pekan, trend jenayah beralih ke kawasan kampung.

“Kita nasihatkan penduduk di kawasan kampung agar lebih berwaspada dengan mengelak menjadi mangsa jenayah terutamanya curi motosikal dan pecah rumah.

“Tentukan tahap keselamatan motosikal dengan menguncinya sebaik mungkin, begitu juga dengan rumah, kunci, pasang selak pintu bahagian atas dan bawah juga pemasangan jeriji besi pada pintu dan tingkap untuk mengurangkan risiko jenayah,” katanya.

Noor Mushar juga menasihatkan pemilik rumah yang berada jauh dari kawasan kejiranan memasang lampu di sekitar rumah.

Menurutnya, keadaan sekitar rumah yang gelap hanya akan memudahkan aktiviti jenayah dilakukan.

“Sekiranya mempunyai sebarang masalah, hubung bilik gerakan kita di talian 03-322 45963 dan kita akan bantu dengan segera, pastikan juga nombor bilik gerakan kita ini tertera di rumah masing-masing supaya mudah untuk dihubungi sekiranya diperlukan,” katanya.

Dalam majlis itu, turut diraikan anak yatim daripada keluarga bekas polis daerah Sabak Bernam dan bakal haji.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan