Rabu, 16 November 2011

MPK kerjasama dengan JKKK

KLANG,15 NOVEMBER- Majlis Perbandaran Klang (MPK) mempertingkatkan kerjasama dengan Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) bagi menyelesaikan permasalahan setempat disamping memudahkan urusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di situ.

Pemangku Yang Di Pertua Pertua MPK,Ikhsan Mukri berkata,kerjasama itu juga mampu meningkatkan kualiti kerja majlis dalam menyelesaikan permasalahan setempat antaranya sampah,jalan dan kemudahan infrastruktur yang lain.

Menurutnya, pembabitan secara aktif JKKK dengan PBT secara tidak langsung menjana pembangunan kawasan selain mewujudkan kesejahteraan dan ketenteraman di tempat mereka kelak.

“Pertemuan ini membuka lembaran baru dalam usaha majlis memantapkan lagi sistem perkhidmatan kami di semua kawasan pentadbiran dan pada masa yang sama mengeratkan lagi perhubungan yang sedia ada.

“Malah pada masa yang sama,JKKK juga dapat mengenali dengan lebih dekat ketua-ketua jabatan yang sentiasa komited menjalankan tugas mengikut bidang dan tanggungjawab masing-masing”katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Program Ramah Mesra Bersama JKKK di Dewan Mesyuarat,di sini.

Hadir sama ialah ahli majlis,ketua-ketua jabatan dan ketua –ketua kampung yang terlibat.

Ikhsan berkata,majlis juga sentiasa menerima pandangan dan cadangan daripada pemimpin setempat kerana ia merupakan elemen yang diperlukan dalam penambahbaikan perkhidmatan MPK di situ.

Menurutnya,ketua kampung merupakan individu paling hampir dengan penduduk dan mereka juga berperanan sebagai orang perantaraan apabila timbulnya sesuatu isu di kawasan masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan