Rabu, 17 Oktober 2012

Subsidi Beras Ada Kelemahan

KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar hari ini mengakui kelemahan pihak kerajaan dalam pengagihan subsidi beras kepada syarikat-syarikat yang mendapat kouta.

Bercakap pada sesi penggulungan bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata pihaknya kini dalam proses membuat kajian dan mencari mekanisma baru.

"Kita sedang mencari kaedah baru yang lebih memberi manfaat," katanya.

Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) ketika mencelah penggulungan itu meminta Noh menyenaraikan nama-nama syarikat yang mendapat subsidi beras dari kerajaan.

Menurut Mahfuz, kerajaan wajar mengkaji semula pemberian subsidi beras yang dilihat lebih menguntungkan syarikat pemborong berbanding rakyat kebanyakan.

Malah katanya, penyelewengan pemberian subsidi beras bukan perkara baru dan meminta kerajaan mengambil tindakan ke atas mereka yang mendapat kuota kemudian menjual semula subsidi itu.

"Saya pernah sebut sebelum ini, kerajaan kena kaji semula. Kenapa tidak sahaja beri subsidi lima peratus, semua orang pakat beli tidak ada lagi syarikat yang akan ambil keuntungan," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Menjawab permintaan Mahfuz itu, Noh berkata pihaknya bersedia memberikan senarai lebih 30 syarikat tersebut.

"Saya boleh bagi senarai syarikat itu, tapi YB (Pokok Sena) berjanji dengan saya akan bagi tahu syarikat mana yang tidak layak menerima kuota itu.

"Saya lagi suka. Saya minta YB Pokok Sena tolong kita," ujar Noh.

Pada tahun ini, kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM528 juta subsidi beras dan penggunaan beras sebanyak 180,000 tan metrik di seluruh negara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan