SHAH ALAM, 13 DIS: Sejumlah RM31.7 juta dibelanjakan Kerajaan Negeri
Selangor dalam program Hadiah Pengajian IPT sejak ia diperkenalkan pada
2008 lalu.
Dalam program tersebut, seramai 31,931 anak Selangor yang berjaya
melanjutkan pelajaran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan
swasta menerima manfaat program itu.
Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, langkah tersebut
diambil berikutan keprihatinan Kerajaan Negeri bagi memastikan anak
Selangor tidak ketinggalan menuntut ilmu di mana-mana institusi
pengajian tinggi di negeri itu.
Abdul Khalid berkata demikian ketika melancarkan Hari Mahasiswa di
Dewan Bankuet Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah,
Shah Alam malam tadi.

Menurut Abdul Khalid, Kerajaan Negeri menganggap golongan mahasiswa
harus dihargai dan tidak boleh dipinggirkan kerana mereka merupakan
bahagian terpenting dalam sesebuah masyarakat di negara ini dan Selangor
khasnya.
“Kerajaan Negeri, walaupun dalam kesibukan meneruskan usaha
membangunkan negeri, menambah hasil negeri menerusi kutipan cukai dan
pelaburan demi kesejahteraan rakyat, namun kami dalam barisan kepimpinan
kerajaan masih ada ruang dan peluang untuk memikirkan ehwal dan
kebajikan mahasiswa negeri ini,” kata Abdul Khalid.

“Saya sangat gembira dengan inisiatif yang diambil Kerajaan Negeri
untuk mengadakan Hari Mahasiswa dan berterima kasih kerana begitu
mengambil berat serta tahu menghargai golongan yang bernilai yang perlu
dijaga ini,” ujar Adzkia.
Pelajar jurusan Sains Sumber Manusia, Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor (KUIS), Helmy Khusairy pula, langkah Kerajaan
Negeri mewujudkan Hari Mahasiswa merupakan suatu suntikan semangat
kepada mahasiswa untuk menjadi mahasiswa yang diimpikan Kerajaan
Selangor.
Sebelum itu, majlis Pelancaran Hari Mahasiswa 2012 dengan tema
‘Mahasiswa Cemerlang, Tonggak Negara’ malam tadi, dianggarkan dihadiri
lebih seribu mahasiswa dari seluruh IPTA dan IPTS seluruh Selangor dan
negeri berdekatan.
Antaranya mahasiswa dari Universiti Malaya (UM), Universiti Institut
Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti
Putra Malaysia (UPM), Universiti Selangor (Unisel), Kolej Universiti
Islam Antarabangsa Selangor, Kolej Antarabangsa Industri Pendidikan
Negeri Selangor (INPENS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai,
Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan lain-lain.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri isteri Menteri Besar, Puan Sri
Salbiah Tunut, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, dan Pembangunan Modal
Insan, Dr Halimah Ali, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan
Setinggan, Iskandar Samad, Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad
Yunus Hairi dan Adun Meru, Dr Abdul Rani Osman.
Hari Mahasiswa yang dipelopori oleh Kerajaan Negeri Selangor itu juga
bakal dijadikan sebagai acara tahunan pada setiap 12 haribulan Disember
setiap tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan