Jumaat, 1 Februari 2013

Penduduk Kampung Sg Hj Dorani, diminta bersabar

SHAH ALAM 30 JAN : Penduduk Kampung Nelayan Sungai Haji Dorani di Sabak Bernam diharap bersabar bagi mendapatkan geran tanah yang akan diberikan kepada mereka.
Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Panjang, Fadzlin Taslimin berkata, permohonan untuk mengeluarkan geran tanah itu kini sedang diproses oleh pihak Pejabat Tanah Daerah Sabak Bernam.
Justeru penduduk yang sudah membayar premium permohonan tanah itu tidak perlu bimbang berhubung status hak milik tanah di kawasan berkenaan.
“Sebab ia lambat mungkin yang membayar premium tanah itu tidak serentak jadi mereka (Pejabat Tanah) perlu kumpul dahulu proses permohonan itu.
“Jika penduduk sudah membayar premium untuk permohonan itu maka tiada masalah,” kata Fadzlin ketika dihubungi TVSelangor.
Ujar Fadzlin, beliau mengharapkan kerjasama pihak Pejabat Tanah Daerah Sabak Bernam agar dapat menyegerakan kelulusan pemberian geran tanah itu agar pihak penduduk tidak menunggu dalam jangka masa yang lama.
“Ia lambat mungkin permohonan ini adalah secara kelompok yang berbeza dengan permohonan secara persendirian,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan penduduk di Kampung Nelayan Sungai Haji Dorani meluahkan kebimbangan terhadap status hak milik tanah di kawasan berkenaan yang masih menjadi tanda tanya.
Pada Februari 2012 lepas, seramai 116 penduduk kampung di daerah Sabak Bernam diberikan notis 5A, iaitu notis yang mengakui mereka pemilik tanah yang sah oleh Kerajaan Negeri Selangor selepas mereka menanti selama kira-kira 30 tahun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan