Jumaat, 2 Ogos 2013

Fokus : Anjung Utara

KUALA LUMPUR: Pembangunan luar bandar yang menjadi fokus kerajaan negeri Selangor pada penggal kedua ini, bukan sahaja perlu dirancang malah perlu dilaksanakan agar rakyat negeri ini mendapat manfaat sebaiknya.

Proses ini perlu ada pelaksanaan di mana Kerajaan Selangor pada permulaannya bercadang untuk mengadakan dua forum berhubung pembangunan luar bandar atau Anjung Utara, sebelum belanjawan negeri dibentangkan.

Menurut Menteri Besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim, pada November ini kerajaan akan memperjelaskan secara terperinci antara lain belanjawan untuk program-program desa dan luar bandar.

"Apabila kita sebut desa-desa ada sesetengah kampung dikelilingi oleh bandar dan ada di pinggir bandar dan ada di kampung, jadi kita ambil kira kesemuanya," jelas beliau dalam sidang medianya baru-baru ini.

Penggal kali ini, Kerajaan Selangor akan memberi fokus kepada Anjung Utara yang belum sempat dilaksanakan pada penggal lalu.

Usaha pembangunan tersebut meliputi pembinaan infrastruktur seperti jalan raya dan bangunan komersial, selain penjanaan industri kecil dan sederhana serta besar bagi membuka lebih banyak peluang  pekerjaan untuk belia.

Dasar pembangunan desa dimulakan pada penggal lalu oleh pentadbiran Pakatan Rakyat Selangor yang mana objektifnya adalah supaya rakyat luar bandar tidak perlu berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan dan perumahan yang setaraf dengan masyarakat bandar.

Antara inisiatif yang dimulakan untuk memenuhi objektif tersebut adalah pembinaan  Projek Rumah Mampu Milik di Sabak Bernam dan lebih banyak pusat komersial di Kuala Selangor.

Kerajaan negeri bawah pimpinan Khalid telah mengumpulkan sejumlah RM2.6 bilion dalam bentuk rizab.

Anjung Utara termasuklah lima  kerusi yang gagal ditawan Pakatan Rakyat pada PRU13 lalu, iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor. Kesemuanya berada di utara Selangor dan di kawasan pengundi Melayu.

Jika ini yang hendak dilakukan Khalid bermakna kawasan Anjung Utara inilah yang bakal menjadi sasaran pembangunan Selangor sepanjang penggal lima tahun kedua beliau menjadi MB Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan