Jumaat, 3 September 2010

MB Lancar Skim Microkredit

ABAK BERNAM, 2 Sept – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini melancarkan Skim Mikrokredit Selangor (Skimsel) yang antara lain bertujuan membantu golongan miskin memperoleh dana bagi menjalankan perniagaan.

Kerajaan Selangor memperuntukkan dana sebanyak RM70 juta untuk membiayai Skimsel ini iaitu RM50 juta untuk masyarakat luar bandar manakala RM20 juta lagi untuk masyarakat miskin bandar.

Skim ini dikendalikan Yayasan Dar Qard Al Hasan. Bagi membantu masyarakat miskin di luar bandar, skim ini diletakkan di bawah portfolio Exco Datuk Hassan Mohamed Ali manakala Exco Rodziah Ismail mengendalikan skim untuk miskin bandar menerusi program-program yang sedang dirangka.

“Pinjaman ini berkonsepkan jati diri yang bermakna jika mereka sanggup meminjam mereka juga sanggup membayar balik.

“Kita menyediakan pembiayaan mudah dan pembayaran yang fleksibel. Tujuan skim bukan mengejar keuntungan tetapi membantu meningkatkan pendapatan golongan kurang berkemampuan menerusi aktiviti ekonomi” katanya.

Pada pelancaran di perkarangan Masjid Maarufiah hari ini, seramai 50 wanita menjadi kumpulan penerima pertama yang menerima pembiayaan dari skim ini berjumlah RM3,000 seorang.

Peminjam perlu membayar semula pinjaman ini dalam tempoh maksimum 12 bulan.

Dana SKIMSEL ini diperoleh kerajaan Pakatan Rakyat di bawah pentadbiran Menteri Besar yang berjaya menstruktur semula pembayaran hutang-hutang oleh syarikat Talam Corporation Berhad (Talam).

Berbanding skim-skim lain, Skimsel tidak memerlukan cagaran, tiada kadar faedah dan peminjam tidak akan diseret ke mahkamah jika gagal membayar dalam tempoh ditetapkan.

Skimsel ini mewajibkan penerima pembiayaan menghadiri mesyuarat dalam kumpulan kecil setiap minggu untuk memaklumkan perkembangan jenis perniagaan dan aktiviti ekonomi yang mereka dijalankan sekali gus menjamin pembayaran balik pinjaman.

Skimsel ini adalah satu lagi bukti komitmen Kerajaan Selangor untuk mengagihkan hasil kekayaan negeri kepada semua rakyat terutama golongan miskin sejajar dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan