Jumaat, 3 September 2010

Selangor Perkenal Latihan Kemahiran

SHAH ALAM, 1 Sept - Kerajaan Selangor akan menyediakan program latihan kemahiran kepada belia-belia khususnya belia di kawasan pinggir dan luar bandar untuk memastikan mereka berpeluang mendapat pekerjaan dengan gaji yang setimpal.

Program latihan yang akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran belia tempatan supaya lebih berdaya saing.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, antara kemahiran-kemahiran yang bakal disediakan kepada belia ini ialah kursus kejururawatan, gaya rambut, jahitan dan kemahiran lain yang sesuai dengan kehendak pasaran kerja.

Beliau berkata, belia-belia ini bakal menjalani latihan jangka pendek di pusat latihan milik kerajaan negeri seperti Industri Pendidikan Negeri Selangor (INPENS), Yayasan Selangor dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Menteri Besar berkata, pengumuman lanjut mengenai program latihan belia ini akan dibuat selepas sambutan Aidilfitri.

“Kebanyakan pekerjaan teknikal bawahan diisi oleh pekerja asing yang sanggup dibayar dengan gaji yang rendah. Oleh itu, kita perlu memberi nilai tambah kepada belia-belia tempatan dengan menolong mereka meningkatkan kemahiran supaya mereka mempunyai kemahiran yang lebih tinggi berbanding pekerja asing.

“Jika kita tidak mengambil tindakan sewajarnya, masalah pengangguran di kalangan belia tempatan akan berterusan dan boleh membawa masalah besar kepada negara,” katanya.

Menteri Besar berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Pengerak Belia peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PeBT) akan menjadi ejen kepada Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti belia-belia yang memerlukan latihan kemahiran ini.

Kerajaan Negeri memandang serius masalah belia menggangur tetapi pada masa yang sama tidak boleh menghentikan pengambilan pekerja asing untuk bekerja di negeri ini.

“Tenaga pekerja asing sangat diperlukan oleh pihak industri untuk mengerakkan lagi ekonomi negara terutama di Selangor. Tetapi kita tidak boleh meminggirkan tenaga kerja tempatan yang semakin ketinggalan dan bergelumang dengan masalah pengganguran,” kata Menteri Besar lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan