Jumaat, 1 April 2011

Program Tuisyen Rakyat Berjaya

SHAH ALAM, 30 Mac – Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang dilaksanakan secara percuma di seluruh negeri Selangor mencapai kejayaan apabila program tersebut banyak membantu mempertingkatkan prestasi dan mutu pelajaran pelajar di negeri ini dengan 8,841 sudah mengikuti program yang bermula sejak 2009.

Daripada jumlah itu seramai 4,333 pelajar adalah bagi 2009 dan 4,508 bagi 2010 menerima manfaat program yang dijalankan oleh kerajaan negeri Selangor.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dalam sidang DUN hari ini menjelaskan bahawa PTRS merupakan program tuisyen percuma yang dianjurkan kerajaan negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Katanya, PTRS itu ditawarkan kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Selangor dan pelajar yang terlibat adalah berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai tahap pencapaian akademik sederhana.

Tambahnya, setiap DUN diperuntukkan seramai 100 pelajar bagi menyertai PTRS tersebut.

“Mekanisma yang dipilih untuk mengukur keberkesanan PTRS adalah berdasarkan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR), keputusan peperiksaan Tingkatan Empat (akhir tahun), ujian prestasi pelajar anjuran PTRS dan keputusan SPM.

“Perubahan sikap yang ditekankan dalam program ini adalah minda positif, matlamat hidup yang jelas, kesedaran rasa tanggungjawab serta peningkatan mutu penampilan akhlak yang baik,” katanya.

Dr Halimah berkata, segala maklum balas mengenainya diperolehi daripada Koordinator Pembangunan Modal Insan (KPMI), guru-guru PTRS, ibu bapa dan penjaga pelajar serta rakan sebaya.

Tambahnya, perbandingan pendaftaran pelajar mengikut tahun 2009, 2010 dan tahun ini mencatakan jumlah yang semakin meningkat dan ini membuktikan PTRS berjaya membantu mutu pendidikan pelajar di negeri ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan