Ahad, 13 September 2009

Ihya Ramadhan di Sekincan

SEKINCHAN, 13 Sept - Penggerak Belia Daerah dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam baru-baru ini mengadakan Program Ihya Ramadan dan Belia Bersama Masyarakat di Masjid As-Saadiah Parit 10, Pasir Panjang, Sekinchan, Selangor.
Bermula jam 2.30 petang ahli kariah masjid As-Saasiah dan belia tempatan memulakan aktiviti gotong royong seperti mengecat pagar masjid, mengecat pintu gerbang masjid, memasak lima kawah besar bubur lambuk dan memasang pelita minyak tanah di sekeliling masjid.
Masyarakat setempat termasuk golongan belia bukan melayu turut sama menjayakan aktiviti ini.
Timbalan Pengerusi Majlis Sukan dan Belia Negeri, Amirudin Shari ketika ditemui berkata, menjadi hasrat kerajaan negeri untuk melihat perpaduan di kalangan masyarakat negeri ini tanpa mengira bangsa atau agama.
Katanya, program seperti belia bersama masyarakat antara usaha yang dilakukan untuk menarik minat mereka.
“Inilah di antara pendekatan kita , saya percaya program ini akan mampu mengembalikan serta menjalin kekuatan masyarat secara keseluruhan”
“Hal ini jelas menunjukkan bahawa komitmen kita dalam pembangunan masyarakat jelas dan kita mahu masyarakat yang ada itu betul-betul hidup dalam suasana aman dan harmoni”,katanya.
Dalam majlis itu,TV Selangor juga berkesempatan menemubual beberapa orang belia bukan Islam bagi mendapatkan pandangan mereka mengenai program itu.
Seorang peserta, Moo Hur San berkata beliau sangat berbesar hati dapat menjayakan program ini bersama masyarakat Islam yang lain.
Katanya selain memupuk perpaduan,ia juga mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka.
“Saya rasa sangat gembira bersama kawan berbagai bangsa dapat bersama-sama bergotong royong hari ini”,katanya.
Seorang lagi peserta,Veerapandin,24 tahun berkata program seumpama ini dapat mengalakkan budaya saling bantu-membantu antara mereka.
“Saya berasa gembira dan bertuah kerana berkawan dengan orang melayu dan cina,dapat membantu orang Melayu untuk mencantikkan masjid,lagipun mengeratkan antara perkauman”,katanya. Program Ihya Ramadan dan Belia Bersama Masyarakat ini turut di serikan dengan kehadiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Dalam majlis ini, Khalid turut menyampaikan borang 5A kepada 50 penduduk Kampung Penerangan, Belakang Kompleks Bernas Sekinchan untuk proses mendapatkan geran hak milik yang tertangguh selama 30 tahun tanpa penyelesaian.
Seorang penduduk, En Abdul Kadir Razak,65 ketika ditemui melahirkan rasa gembira menerima borang 5A tersebut.
Dalam majlis yang sama, Khalid turut menyampaikan dana sebanyak RM168 ribu untuk aktiviti belia setiap daerah di Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan