Ahad, 6 September 2009

Rakyat Disaran Daftar Diri Dalam Skim Mesra Usia Emas

SHAH ALAM, 6 Sept - Rakyat di negeri ini diminta merebut peluang dengan mendaftarkan diri dalam Skim Mesra Usia Emas untuk mendapatkan faedah yang ditawarkan.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Mesra Sdn Bhd, Kamsani Nasir berkata setakat ini kesedaran rakyat Selangor mengenai skim ini masih lagi kurang walaupun program tersebut sudah setahun dilaksanakan.

“Dari sudut kesedaran kita rasa masih lagi belum mencapai tahap yang kita rasa boleh berpuas hati dan kita masih lagi menjalankan program-program promosi”,katanya.

Kamsani berkata demikian kepada TV Selangor ketika di temui baru –baru ini.

Beliau selaku badan pelaksana berkata salah satu faktor yang menyebabkan pihaknya sukar mewar-warkan perkara tersebut kepada masyarakat negeri ini disebabkan kurangnya kerjasama daripada media arus perdana selain sikap masyarakat sendiri yang terikat dengan parti politik tertentu.

Katanya, jika masih ramai rakyat yang mengamalkan sikap sedemikian, ianya akan merugikan mereka sendiri.

“Ini satu skim untuk rakyat, sesuatu yang memang hak rakyat dan memang kerajaan berhasrat untuk menyampaikan kepada rakyat. Jika tidak dibuat pendaftaran,jika rakyat tidak melihat ini sebagai satu yang perlu disertai,mugkin ini tidak dapat nanti, maknanya matlamat kerajaan negeri tidak akan tercapai”,katanya.

Menurut Kamsani, program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) ini dilaksanakan dengan pendekatan menjaga hal kebajikan rakyat negeri Selangor tanpa mengambil kira status kaum, agama, usia dan fahaman politik.

Beliau berkata, program tersebut bertujuan membantu meringankan beban yang ditanggung oleh rakyat khususnya bagi mereka yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah.

Justeru, beliau berharap rakyat dinegeri ini tidak menjadikan pegangan politik sebagai alasan dan halangan untuk mereka menikmati kemudahan yang disediakan kerajaan negeri.

“Jadi saya mohon dan saya minta kepada seluruh rakyat di luar sana supaya kita mengenepikan politik itu suatu sudut tetapi tanggungjawab sebagai kerajaan

kepada rakyat itu satu sudut yang lain dan ini kita kena melihat sebagai satu tanggugjawab daripada sebuah kerajaan kepada rakyatnya”,katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan