Selasa, 8 September 2009

Muka-muka Baru Dalam JKKK



Lebih separuh daripada ahli baru Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Selangor yang bakal dilantik, adalah terdiri daripada muka baru, kata pembantu exco kerajaan negeri, Amirudin Shari.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Caves, berkata, ahli JKKK yang lama tidak terpilih kali ini, antaranya, kerana gagal bekerjasama dengan kerajaan negeri.

Kesemua mereka, tambahnya, telah dimaklumkan secara lisan dan surat rasmi dijangka dikeluarkan sebelum hujung bulan ini.

Amirudin berkata, perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat khas mengenai pelantikan JKKK, Khamis lalu.

Katanya, permohonan untuk mengisi jawatan tersebut, dibuka sejak awal Mei lalu, melalui borang terdapat di pejabat penghulu dan pejabat daerah masing-masing.

Amiruddin berkata, permohonan turut diterima daripada JKKK lama yang dilantik kerajaan terdahulu, tetapi jumlahnya tidak besar.

Di peringkat kedua, tambahnya, kesemua pemohon dipanggil untuk ditemuduga oleh Adun, penghulu dan pegawai daerah, katanya kepada Malaysiakini.

Antara kriteria pemilihannya, kata beliau, adalah berumur tidak lebih daripada 65 tahun, diterima oleh penduduk kampung serta bersih daripada rekod jenayah.

Dalam wawancara bersama beberapa media berbahasa Melayu bersempena sambutan ‘100 hari kerajaan baru Selangor' bulan lalu, Khalid berkata Selangor akan mengumumkan kumpulan baru jentera pentadbiran daerah, melibatkan ketua kampung dan JKKK , kerana ada sebahagiannya yang "berkiblatkan" kerajaan persekutuan.

Oleh itu, katanya, telah meminta pegawai daerah dan juga ahli parlimen Pakatan Rakyat dan Adun supaya berbincang untuk melantik ahli JKKK yang baru.

Penyusunan semula yang akan diumumkan bulan ini, akan turut melibatkan struktur pentadbiran di perkampungan Cina yang ada kekosongan sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan