Selasa, 1 Disember 2009

Kempen Kebersihan

IJOK 30 NOV: Kerajaan negeri bakal menganjurkan program pembersihan Selangor pada tahun hadapan dalam usaha memupuk kesedaran tentang kebersihan kepada rakyat.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, program berkenaan bakal dilaksanakan secara menyeluruh di seluruh Selangor dengan menggunakan pendekatan berkempen.

Khalid berkata, antara kempen yang akan dilakukan adalah kempen mengurangkan penggunaan beg plastik, kempen penggunaan tong sampah dan kempen menanam pokok di negeri ini.

“Banyak lah kita akan uruskan. Tapi buat masa ini, saya nak mengingatkan rakyat Selangor kalau kita nak jadi negeri number one, bukan number one Malaysia, negeri number one, kita mesti bersih dan selamat,” kata Khalid.

Beliau berkata demikian kepada Tv Selangor selepas menyampaikan cek bernilai RM2,500 kepada 42 waris peserta skim Mesra Usia Emas di sini semalam.

Khalid berkata, skim Mesra Usia Emas amat mementingkan kebajikan warga tua di negeri Selangor.

Mengulas mengenai skim berkenaan, Khalid berkata sebagai tanda prihatin, kerajaan negeri dijangka memperkenalkan kad potongan harga kepada warga emas untuk membeli belah di Selangor.

Katanya, program sumbangan skim ini mungkin diadakan setiap minggu dalam memastikan kerajaan negeri menunaikan janji yang diberi kepada rakyat.

“Kira rasakan dengan cara ini, setiap minggu kita akan adakan pemberian khairat kematian ini di setiap tempat di negeri Selangor. Ini menunjukkan kerajaan pakatan rakyat tidak bercakap saja, kita buat program, kita ada perjumpaan, kita tahu kehendak rakyat, dan kita berharap perkara ini akan sentiasa diteruskan supaya semua rakyat merasakan kemakmuran negeri Selangor.” katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan