Isnin, 27 Julai 2009

Portal Sistem Talian Aduan Rakyat Selangor (STARS)

Kerajaan Negeri Selangor melancarkan Portal Sistem Talian Aduan Rakyat Selangor (STARS) untuk memperkemas sistem pengurusan dan pengumpulan aduan serta maklum balas orang awam di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, sistem ini bertindak sebagai portal sehenti untuk semua jenis aduan bagi meningkatkan lagi kemudahan, kebolehcapaian dan kualiti berinteraksi dengan orang awam.

Berucap membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2009 di Sidang Dewan Negeri hari ini, Ronnie berkata, ia dikendalikan Bahagian Korporat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Di samping itu, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM20,000 menerusi jawatankuasanya untuk menjalankan kajian terperinci bagi mengimplementasi pilihanraya kerajaan tempatan.

“Kerajaan negeri telah memperuntukkan RM20,000 di bawah Jawatankuasa Tetap Kajian dan Penyelidikan untuk kajian terperinci dijalankan. Kumpulan penyelidik terdiri daripada NGO, peguam, pendidik, dan juga pakar pilihanraya.

“Perkara ini masih di peringkat terakhir memandangkan ia terhalang secara perundangan di bawah seksyen 15 (c) Akta Kerajaan Tempatan 1976, secara jelas dinyatakan pilihanraya kerajaan tempatan tidak dibenarkan”, katanya.

Menurut Ronnie, kajian terakhir sedang dibuat untuk mengenalpasti pendekatan terbaik mengatasi halangan itu dan ia akan diteruskan ke peringkat negeri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan