Rabu, 5 Mei 2010

Pelancaran PADAT

SHAH ALAM, 5 Mei – Kerajaan Negeri akan mengadakan Majlis Pelancaran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan (Padat) di Stadium Malawati, Shah Alam malam ini.

Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, majlis itu akan disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Padat ditubuhkan pada 18 Jun tahun lalu bertujuan untuk membangun, memelihara dan menyebarkan adat Melayu serta warisan negeri secara meluas.

“Penubuhannya berkaitan dengan budaya masyarakat Selangor dan ia merangkumi sistem agama dan politik, adat istiadat, bahasa, perkakas, pakaian, bangunan dan karya seni,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Katanya, penubuhan badan itu juga adalah satu usaha untuk mengembalikan ‘persekitaran’ warisan serta adat budaya negeri ini.

“Di sebalik kemajuan, kita ketinggalan jiwa halus manusia terutama berkaitan adat budaya dan warisan negeri.

“Kita tidak mempunyai identiti budaya seperti yang ada di Bali ataupun di Jepun. Oleh itu kita perlu ‘menggali’ khazanah serta warisan yang kita ada supaya ia tidak hilang begitu sahaja,” katanya.

Sistem Bayaran TNB, Pengguna Merungut

SHAH ALAM, 6 Mei – Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim meminta Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya lebih sensitif dengan kebajikan rakyat dengan tidak mengamal sistem bayaran bil penggunaan elektrik dua bulan sekali.
Merujuk masalah di Perak yang kian menular di Selangor, beliau berkata, TNB tidak wajar menghantar bil tertunggak bulan pertama yang ditunda ke bulan kedua hingga membebankan pengguna.
Penggunaan sistem bacaan penggunaan elektrik dua bulan sekali mengundang rasa kurang senang dalam kalangan penduduk di Ipoh, Perak yang mendesak TNB menukar cara lama dengan menghantar bil setiap bulan.
Pengguna di Selangor juga semakin tertekan dengan pelaksanaan TNB ini dan rungutan mereka berhubung bil elektrik semakin bercambah.
“TNB tidak perlu menghantarkan bil dua bulan sekali, TNB ialah sebuah syarikat swasta di mana sahamnya diurusniagakan di Bursa Saham Kuala Lumpur.
“Saya ingat salah satu bukan baik untuk mereka dengan lebih peka kepada pengguna dan dengan harga kesempurnaan terutamanya dengan harga monopoli,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Pelihara Warisan Turun Temurun




SHAH ALAM, 5 Mei – Sultan Selangor hari ini bertitah bahawa adat dan warisan yang diamal sejak turun temurun perlu dipelihara dan dipraktikkan oleh semua kaum agar Selangor menjadi sebuah negeri yang mempunyai budaya sopan
santun dan budi bahasa yang tinggi.
Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah apa yang dikatakan adab adalah menghormati ibu bapa, orang tua, jiran tetangga, ketua dan pemimpin selain berbudi bahasa serta tidak melakukan sesuatu yang boleh menyinggung perasaan dan maruah orang lain.
Sultan Selangor bertitah baginda menyentuh isu adab kerana dewasa ini gejala ‘kurang beradab’ berleluasa dalam kalangan masyarakat di negeri ini kononnya kerana masyarakat moden.
“Sayangnya kurang beradab ini dilakukan oleh mereka yang berjawatan besar dan penting, berkelulusan tinggi dan professional. Kurang beradab bukan sahaja dilakukan di tepi-tepi jalan tetapi juga di tempat mulia dan tinggi,” titah
Baginda pada perasmian Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat) di sini, malam ini.
Baginda bertitah masyarakat berbilang kaum di negeri ini juga perlu memahami dan menghormati adat resam semua kaum bagi mengelakkan berlaku salah faham atau kekeliruan sekaligus mewujudkan kaharmonian dan kesejahteraan di kalangan masyarakat.
Sultan Sharafuddin bertitah baginda percaya adab yang diamalkan oleh nenek moyang sejak dahulu itu perlu diterap dalam sistem pembelajaran.
Baginda turut meminta Padat yang dilancarkan malam ini supaya bukan sahaja memelihara adat dan warisan Melayu di Selangor tetapi turut menunjukkan betapa pentingnya adab dalam masyarakat berbilang kaum.
“Beta mengharapkan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor dapat menumpukan perhatian kepada penerokaan, pengkajian, persembahan dan penonjolan Adat Melayu dan Warisan Selangor yang keasliannya dapat dipertahankan melalui usaha penyelidikan.
“Beta sedar adalah tidak mudah untuk menonjolkan intipati adat budaya yang bersusurgalurkan warisan negeri Selangor sepenuhnya,” titah baginda.
Bagi mencapai matlamat ini, Baginda menyarankan Padat menjejaki dan mengenalpasti sumber-sumber Adat Budaya dan Warisan Selangor seterusnya melakukan penyelidikan saintifik ke atas penemuan-penemuan it