Selasa, 17 Ogos 2010

Tahniah, Yaakob Safari Terima Phd UPM

Exco Permodenan, Pertanan, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari dikurnia ijazah kehormat doktor falsafah (PhD) bidang Pendidikan Teknik dan Vokasional.

Ia adalah hasil kajian tesis bertajuk ‘Perceptions on Knowledge Entrepreneur Among Selected Implementing Agencies’.

Yaakob akan menerima ijazah itu pada majlis konvokesyen Universiti Putra Malaysia pada 9-13 Oktober ini.

Beliau merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menyiapkan tesis tersebut.

Isnin, 16 Ogos 2010

Kuiz Zakat di Udara

SHAH ALAM, 9 Ogos – Kesedaran menunaikan ibadat zakat oleh umat Islam di negara kita masih rendah kerana mereka beranggapan dengan menunaikan zakat fitrah di bulan Ramadan sudah memadai.
Zakat tidak terhad kepada fitrah semata-mata malah ia merangkumi zakat harta terbahagi kepada 8 jenis iaitu zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat binatang ternakan, zakat pertanian, zakat wang simpanan, zakat emas dan perak, zakat saham serta zakat Ma’adin, Kunuz dan Rikaz.
Atas kesedaran itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama stesyen radio tempatan IKIM.fm menganjurkan “Kuiz Zakat Di Udara” selama empat bulan bermula pada Oktober 2009 dan berakhir pada Januari 2010.
Kuiz ini diadakan bertujuan mempromosikan zakat kepada pendengar untuk menyebarluas dakwah zakat kepada masyarakat.
Di samping itu penganjurannya bertujuan bagi meningkatkan kesetiaan pelanggan, menggalakkan masyarakat menunaikan zakat seterusnya mendidik mereka secara tidak langsung tentang hal ehwal zakat.
Pemenang dipilih berdasarkan jawapan yang dikumpul oleh pendengar melalui Kuiz Terkumpul dalam tempoh empat bulan ia dipertandingkan. Pemenang terpilih menerima hadiah tiket penerbangan ke destinasi menarik.
Siang tadi Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyampaikan hadiah kepada pemenang utama dan pemenang tempat pertama hingga ketiga “Kuiz Zakat Di Udara” bertempat di Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Bangunan Sultan Idris Shah dekat sini.
Setelah cabutan dijalankan, pemenang utama kuiz ini dimenangi oleh Zainal Mohamad Nasir; tempat pertama-Siti Zaleha Syed Sa’ari; tempat kedua- Fadzillah Md Tahir dan tempat ketiga Badrul Nazri Mohamad @Din. Masing-masing menerima dua tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur-Jakarta; Kuala Lumpur-Ho Chi Minh City; Kuala Lumpur-Bangkok dan Kuala Lumpur-Phnom Penh.

Pengerusi Masjid dan Surau

SHAH ALAM, 9 Ogos – Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Khusrin Munawi sepatutnya mempunyai kelulusan Sijil Menengah Agama sebelum menetapkan syarat untuk mengisi jawatan pengerusi masjid dan surau.

“(Khusrin) hendak pengerusi masjid dan surau paling rendah ada kelulusan Tiga Senawi (Sijil Rendah Agama). Ini saya sokong,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Khusrin pada hujung minggu lalu berhubung jumlah penceramah tanpa tauliah di masjid dan surau negeri itu.

“Tapi pengarah JAIS paling kurang kena ada (kelulusan) Empat Senawi. Jangan awak nak sibuk dengan kelulusan pengerusi masjid kalau awak sendiri pun tak ada kelulusan.

“Nanti jadi masalah kepada pentadbiran Selangor,” katanya yang menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Khusrin itu sebagai ‘berbau politik’.

Katanya lagi, Khusrin juga didakwa sengaja memperbesar-besarkan angka bahawa seramai 20 hingga 30 orang anggota jawatankuasa masjid di Selangor meletakkan jawatan setiap bulan.

“Saya pertikaikan statistik dia. Mungkin mereka rasa bertanggungjawab, mereka letak jawatan, tapi tidak sampai 20 hingga 30 orang setiap bulan.

“Dia memperbesar-besarkan angka itu untuk memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat,” kata Khalid lagi.

Dalam sidang media sama, Khalid turut mengulangi tuntutannya supaya proses pentauliahan dijalankan secara telus dan bertanggungjawb.

Katanya, perkara berkenaan telah dimaklumkannya dalam sepucuk surat kepada Sultan Selangor yang dihantar kira-kira dua minggu lalu.

Antara lain, beliau menggariskan bahawa status kelulusan permohonan untuk mendapatkan tauliah itu perlulah dimaklumkan kepada pemohon dalam tempoh sebulan.

Sekiranya gagal, pemohon itu juga sepatutnya diberi peluang untuk merayu keputusan tersebut kepada Exco agama dan negeri.

“Barulah ada semak dan imbang. Kalau tidak, sekarang ini kalau pengarah JAIS tidak suka (pemohon), permohonan akan ditolak ke tepi (dan) tidak ada berita lagi selepas itu,” tambahnya

MB Rai Pengerusi JKKK dalam Majlis Berbuka Puasa

SHAH ALAM, 12 OGOS – Seramai 380 ketua-ketua kampung termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) semalam diraikan dalam satu majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Ahli Dewan Negeri Selangor di kediaman rasminya di Shah Alam .

Abdul Khalid berkata majlis yang diadakan ini bertujuan merapatkan silaturrahim serta menambah baik kerjasama dan persefahaman antara pemimpin kerajaan negeri dengan pegawai-pegawai JKKK sekaligus dapat memperbaiki sistem penyampaian kepada rakyat Selangor.

Selain umat Islam, Abdul Khalid turut mengundang beberapa Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen bukan beragama Islam .

Selain berbuka puasa bersama Menteri Besar, tetamu yang hadir turut bersama-sama menunaikan solat Maghrib dan Isyak serta disudahi dengan solat Tarawih secara berjemaah.

Bagi Ketua Kampung Meru, Zaifur Noor, majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar pada tahun ini agak meriah dan ramai jemputan hadir berbanding tahun lepas. Usaha sebegini katanya perlu diadakan lebih kerap sebagai penghargaan kepada pemimpin akar umbi dan bekerjasama menyalurkan maklumat berguna kepada kerajaan negeri.

“Ini satu program yang baik, sebenarnya untuk merapatkan antara ketua kampung antara satu dengan lain dari daerah yang berlainan dan bagi pegawai-pegawai yang lain kita dapat berkenal-kenalan dengan mereka sambil duduk bersembang, paling tidak pun kita dapat sekurang-kurangnya kalau kita tak dapat pergi ke pejabat dia pun, dalam waktu-waktu beginilah kita boleh bercerita tentang apa pun masalah-masalah kita dengan mereka sebenarnya”.

Sementara itu Pegawai Penyelaras Menteri Besar Selangor, Abdul Rahman Talib memuji usaha ini dan ia akan diteruskan di setiap daerah bagi memberi kefahaman tentang beberapa program kebajikan yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk manfaat rakyat Selangor.

“Perjumpaan ini memang patut diadakan secara kerap kali supaya antara satu sama lain mesra dan memahami, dengan itu pegawai-pegawai kerajaan, penyokong-penyokong kerajaan, anggota-anggota parti, orang awam, JKKK faham bahawa pimpinan kita Tan Sri Khalid adalah seorang pemimpin yang terbuka dan suka berkomunikasi dengan rakyat dan pegawai”.

“Meskipun Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sibuk dengan urusan pentadbiran kerajaan negeri namun beliau masih sempat meluangkan masa berbuka puasa bersama Ahli Dewan Negeri (ADUN) Selangor serta 380 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di kediaman rasminya di Shah Alam hari ini,” katanya.

Siri Jelajah Sultan Selangor Tradisi Setiap Ramadhan

SHAH ALAM, 13 OGOS – Siri jelajah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kembali semula menemui rakyat menerusi majlis berbuka puasa di seluruh negeri ini bermula dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang berlangsung semalam.

Program turun padang Sultan Selangor sepanjang Ramadan ini merupakan kesinambungan majlis berbuka puasa dan solat Tarawih bersama rakyat sepertimana tahun lepas yang menjadi tradisi golangan Diraja ini.

Dalam majlis ini, Sultan Sharafuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 400 penerima terdiri daripada anak-anak yatim, fakir, miskin serta saudara baharu dari daerah Petaling.

Selain bantuan hari raya, mereka yang tidak berkemampuan ini turut dijamu dengan pelbagai juadah berbuka puasa termasuk bubur lambuk, kurma, kuih-muih dan lauk-pauk ala-kampung.

MB Rai Pengerusi JKKK dalam Majlis Berbuka Puasa

SHAH ALAM, 12 Ogos – Seramai 380 ketua-ketua kampung termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) semalam diraikan dalam satu majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Ahli Dewan Negeri Selangor di kediaman rasminya di sini malam semalam.

Abdul Khalid berkata majlis yang diadakan ini bertujuan merapatkan silaturrahim serta menambah baik kerjasama dan persefahaman antara pemimpin kerajaan negeri dengan pegawai-pegawai JKKK sekaligus dapat memperbaiki sistem penyampaian kepada rakyat Selangor.

Selain umat Islam, Abdul Khalid turut mengundang beberapa Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen bukan beragama Islam untuk bersama-sama meraikan bulan Ramadan.

Beliau di dalam ucapan alu-aluannya menyebut amat berbesar hati di atas kehadiran begitu ramai pemimpin-pemimpin negeri Selangor, ramai ketua-ketua kampung dari seluruh negeri Selangor dan berharap usaha tersebut dapat dipanjangkan ke daerah-daerah untuk dapat meningkatkan silaturrahim antara muslimin dan muslimat

Selain berbuka puasa bersama Menteri Besar, tetamu yang hadir turut bersama-sama menunaikan solat Maghrib dan Isyak serta disudahi dengan solat Tarawih secara berjemaah.

Dalam pada itu Pegawai Penyelaras Menteri Besar Selangor, Abdul Rahman Talib memuji usaha yang dilakukan dan ia perlu diteruskan di setiap daerah bagi memberi kefahaman tentang beberapa program kebajikan yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk manfaat rakyat Selangor.
“Meskipun Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sibuk dengan urusan pentadbiran kerajaan negeri namun beliau masih sempat meluangkan masa berbuka puasa bersama Ahli Dewan Negeri (ADUN) Selangor serta 380 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di kediaman rasminya di Shah Alam hari ini,” katanya.