Isnin, 20 September 2010

Kerajaan Pusat Lepas Tangan, Dr Hasan Ali

SHAH ALAM, 20 Sept – Kerajaan Persekutuan didakwa lepas tangan untuk memperbaiki jalan di negeri ini. Perkara itu didedahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap dan Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohammad Ali.

Hasan berkata, dalam banyak perkara, Kerajaan Pusat dilihat tidak berminat untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Selangor.

“Kalau dulu sebahagian jalan persekutuan itu dikendalikan oleh Kerajaan Persekutuan, begitu juga jalan luar bandar dikendalikan Kementerian Luar Bandar, tetapi sekarang seolah-olah mereka tinggalkan, minta kerajaan negeri lakukan,” ujarnya lagi.

Sementara itu, Dr Hasan sudah memperolehi senarai jalan raya seluruh Selangor yang perlu dibaik pulih serta diselenggara.

Menurutnya lagi, melalui pertemuan dengan beberapa pihak berkaitan, beliau berjaya mengumpulkan semua maklumat mengenai jalan-jalan seperti di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), jalan bandar, di luar bandar dan sebagainya.

Beliau kini sedang dalam perbincangan dengan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) serta beberapa jabatan dalam usaha menentukan senarai keutamaan yang perlu dilaksanakan.

“Saya sudah minta peruntukan bajet tambahan yang baru dibentangkan dipersidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), melalui peruntukan itu diharapkan pembaikan-pembaikan jalan dapat dilakukan.

“Saya akan membuat senarai penuh tahun depan apabila mengemukakan bajet tahun 2011. Insya-Allah saya rasa kita akan dapat satu peruntukan daripada kerajaan negeri untuk membaiki jalan yang rosak dan juga menyelenggarakan jalan tersebut dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata, anggaran kasar mengikut daerah adalah berdasarkan keperluannya seberapa banyak jalan yang memerlukan pembaikan serta penyelenggaraan.

Dalam pada itu, beliau mengakui terdapat sedikit kelemahan dari segi penyelenggaraan, pembaikan jalan dan sebagainya, tetapi ini hanya bersifat sementara sahaja, iaitu sementara kerajaan negeri dapat membuat penyelarasan dengan kerajaan pusat dan sebagainya.

“Jadi dalam proses penyelarasan ini, maka timbullah benda-benda yang pernah dilakukan Kerajaan Pusat tidak dapat dilakukan oleh kerajaan negeri kerana kita tidak dapat melakukan bajet sebab atas dasar ia dilaksanakan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Kerajaan Komited Bangunkan kampung.

SUNGAI BULOH, 20 Sept: Kerjasama yang erat akan dilakukan dengan semua ketua-ketua kampung bagi meneruskan pembangunan di Selangor, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sewaktu meraikan majlis Aidilfitri di Dewan JKKK, Kampung Pasir Tuntung, Sungai Buloh, semalam.

“Saya akan bekerja dengan ketua-ketua kampung untuk membangunkan negeri Selangor dan bercadang untuk menyenaraikan semua permintaan dan memberi keutamaan kepada mereka,” katanya pada majlis yang dihadiri oleh pelbagai lapisan masyarakat itu.

Tan Sri Khalid menjelaskan lagi, perkara ini akan diberi keutamaan dalam merangka Bajat 2011 negeri Selangor yang bakal dibentangkan semasa persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor pada November ini.

“Saya telah minta Tuan D.O untuk menyenaraikan kehendak-kehendak kita supaya kita dapat tolong bangunkan demi kesejahteraan rakyat di negeri Selangor,” ujar Tan Sri Khalid lagi.

Pada majlis yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzuelkefly Ahmad itu, Tan Sri Khalid turut menyampaikan ‘duit raya’ kepada kanak-kanak yang bersalaman dengan beliau.

Jumaat, 3 September 2010

Selangor Perkenal Latihan Kemahiran

SHAH ALAM, 1 Sept - Kerajaan Selangor akan menyediakan program latihan kemahiran kepada belia-belia khususnya belia di kawasan pinggir dan luar bandar untuk memastikan mereka berpeluang mendapat pekerjaan dengan gaji yang setimpal.

Program latihan yang akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri ini bertujuan untuk meningkatkan kemahiran belia tempatan supaya lebih berdaya saing.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, antara kemahiran-kemahiran yang bakal disediakan kepada belia ini ialah kursus kejururawatan, gaya rambut, jahitan dan kemahiran lain yang sesuai dengan kehendak pasaran kerja.

Beliau berkata, belia-belia ini bakal menjalani latihan jangka pendek di pusat latihan milik kerajaan negeri seperti Industri Pendidikan Negeri Selangor (INPENS), Yayasan Selangor dan Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).

Menteri Besar berkata, pengumuman lanjut mengenai program latihan belia ini akan dibuat selepas sambutan Aidilfitri.

“Kebanyakan pekerjaan teknikal bawahan diisi oleh pekerja asing yang sanggup dibayar dengan gaji yang rendah. Oleh itu, kita perlu memberi nilai tambah kepada belia-belia tempatan dengan menolong mereka meningkatkan kemahiran supaya mereka mempunyai kemahiran yang lebih tinggi berbanding pekerja asing.

“Jika kita tidak mengambil tindakan sewajarnya, masalah pengangguran di kalangan belia tempatan akan berterusan dan boleh membawa masalah besar kepada negara,” katanya.

Menteri Besar berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini, hari ini.

Abdul Khalid berkata, Ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) dan Pengerak Belia peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PeBT) akan menjadi ejen kepada Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti belia-belia yang memerlukan latihan kemahiran ini.

Kerajaan Negeri memandang serius masalah belia menggangur tetapi pada masa yang sama tidak boleh menghentikan pengambilan pekerja asing untuk bekerja di negeri ini.

“Tenaga pekerja asing sangat diperlukan oleh pihak industri untuk mengerakkan lagi ekonomi negara terutama di Selangor. Tetapi kita tidak boleh meminggirkan tenaga kerja tempatan yang semakin ketinggalan dan bergelumang dengan masalah pengganguran,” kata Menteri Besar lagi.

MB Lancar Skim Microkredit

ABAK BERNAM, 2 Sept – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini melancarkan Skim Mikrokredit Selangor (Skimsel) yang antara lain bertujuan membantu golongan miskin memperoleh dana bagi menjalankan perniagaan.

Kerajaan Selangor memperuntukkan dana sebanyak RM70 juta untuk membiayai Skimsel ini iaitu RM50 juta untuk masyarakat luar bandar manakala RM20 juta lagi untuk masyarakat miskin bandar.

Skim ini dikendalikan Yayasan Dar Qard Al Hasan. Bagi membantu masyarakat miskin di luar bandar, skim ini diletakkan di bawah portfolio Exco Datuk Hassan Mohamed Ali manakala Exco Rodziah Ismail mengendalikan skim untuk miskin bandar menerusi program-program yang sedang dirangka.

“Pinjaman ini berkonsepkan jati diri yang bermakna jika mereka sanggup meminjam mereka juga sanggup membayar balik.

“Kita menyediakan pembiayaan mudah dan pembayaran yang fleksibel. Tujuan skim bukan mengejar keuntungan tetapi membantu meningkatkan pendapatan golongan kurang berkemampuan menerusi aktiviti ekonomi” katanya.

Pada pelancaran di perkarangan Masjid Maarufiah hari ini, seramai 50 wanita menjadi kumpulan penerima pertama yang menerima pembiayaan dari skim ini berjumlah RM3,000 seorang.

Peminjam perlu membayar semula pinjaman ini dalam tempoh maksimum 12 bulan.

Dana SKIMSEL ini diperoleh kerajaan Pakatan Rakyat di bawah pentadbiran Menteri Besar yang berjaya menstruktur semula pembayaran hutang-hutang oleh syarikat Talam Corporation Berhad (Talam).

Berbanding skim-skim lain, Skimsel tidak memerlukan cagaran, tiada kadar faedah dan peminjam tidak akan diseret ke mahkamah jika gagal membayar dalam tempoh ditetapkan.

Skimsel ini mewajibkan penerima pembiayaan menghadiri mesyuarat dalam kumpulan kecil setiap minggu untuk memaklumkan perkembangan jenis perniagaan dan aktiviti ekonomi yang mereka dijalankan sekali gus menjamin pembayaran balik pinjaman.

Skimsel ini adalah satu lagi bukti komitmen Kerajaan Selangor untuk mengagihkan hasil kekayaan negeri kepada semua rakyat terutama golongan miskin sejajar dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

Rabu, 1 September 2010

Jemputan ke Majlis Tahlil & Berbuka Puasa

Tarikh: 4 September 2010
Hari : Sabtu
Masa : Mulai jam 600 petang
Tempat : Masjid Parit 4.
Tazkirah : Ustaz Abd Rahim bin Arif

Agenda majlis
600 : Ketibaan jemputan
615 : Majlis Tahlil dan Doa.
645 : Tazkirah Ramadhan
725 : Berbuka Puasa
: Solat Maghrib.

Muslimin muslimat dijemput hADIR.