PUNCAK ALAM 15 DIS : Sejak diperkenalkan pada April lalu, lebih
14,000 kanak-kanak yang lahir pada tahun 2008 di Selangor sudah
menikmati manfaat program ‘Jom Shopping Bonus Selangorku’.
Program tersebut dikhususkan kepada peserta Tabung Warisan Anak
Selangor (TAWAS) yang menerima baucer membeli-belah bernilai RM 100
ketika menyambut ulang tahun kelahiran mereka.
Sehingga kini, RM 1.4 juta telah dibelanjakan untuk menjayakan inisiatif ini di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).
Petang tadi, bertempat di Econsave Alam Jaya di sini, Menteri Besar,
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyempurnakan upacara penutupan program
‘Jom Shopping Bonus Selangorku’ yang disertai 181 peserta TAWAS dari DUN
Ijok dan DUN Jeram.
“Ini bukanlah bermakna program ini akan tamat terus sebaliknya kita menutup program untuk tahun ini sahaja.
“‘Jom Shopping Bonus Selangorku’ tetap akan diteruskan lagi selagi
Pakatan Rakyat memerintah untuk memberi manfaat kepada anak-anak
Selangor,” kata Abdul Khalid yang juga Adun Ijok.
Dalam pada itu, beliau yang menyambut ulang tahun kelahirannya yang
ke 66 semalam turut dikejutkan dengan hadiah kek harijadi dari
kakitangan Yayasan Anak Warisan Selangor (YAWAS).
Sejurus selesai upacara memotong kek, Abdul Khalid juga berkesempatan
menemani para peserta Tawas yang hadir untuk membeli belah bersama ibu
bapa atau penjaga masing-masing.
Turut hadir ialah isteri beliau, Puan Sri Salbiah Tunut, Pengurus
Besar YAWAS, Mohd Nor Mohd Zin serta Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala
Selangor (MDKS), Noraini Roslan.