Jumaat, 29 April 2011

PMIUM Gesa Kerajaan Bertegas Permainan Hina Islam

KUALA LUMPUR, 29 April: Satu permainan komputer yang digilai remaja negara ini dikhuatiri boleh menjejaskan akidah pemainnya kerana ia mengandungi elemen menghina Islam apabila memaparkan kalimah Allah dan Kaabah.

Pemain permainan itu (Devil May Cry 3) didakyah kononnya mereka berjihad untuk menentang syaitan kerana dikehendaki menewaskan makhluk itu untuk menembusi 12 pintu sebelum ‘penghulu syaitan’ menanti mereka di pintu terakhir iaitu pintu kaabah.

Elemen penghinaan ke atas Islam jelas tertera apabila kalimah Allah dipaparkan di setiap pintu yang dikawal syaitan termasuklah di pintu kaabah.

Sehubungan itu, Naib Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Rohayu Rusli menggesa tindakan tegas harus diambil dengan serius oleh pihak kerajaan dan pihak berwajib.

Katanya, difahamkan permintaan tinggi terhadap permainan itu menyebabkan pihak pengeluar kini sudah mengeluarkan empat edisi bagi permainan berkenaan sejak mula memasarkannya pertengahan tahun lalu.

“Jadi, saya mewakili mahasiswa mahasiswi Islam UM menggesa pihak berwajib meneliti dengan lebih terperinci ‘keadaan’ permainan ini sebelum dipasarkan kepada pelanggan terutamanya remaja.

“Permainan komputer itu satu penghinaan melampau kepada umat Islam kerana kaabah adalah kiblat dan tempat suci, begitu juga dengan kalimah Allah yang tidak boleh dijadikan bahan permainan sesuka hati,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menyifatkan permainan seperti itu boleh menggugat keimanan dan akidah seseorang terutama apabila ‘mempermainkan’ agama Islam.

Tambahnya, tindakan dan sebaran harus dibuat secepat mungkin bagi menyedarkan semua sebelum terlambat.

“Saya rasa isu ini sudah lama keluar, mungkin ramai lagi yang tidak tahu tentang permainan ini,” ujarnya.

Orang Ramai Sambut Baik Larangan Artis Tidak Bermoral Buat Persembahan

SHAH ALAM 29 April : Larangan kerajaan Selangor untuk tidak membenarkan artis tidak bermoral daripada membuat persembahan secara terbuka di negeri ini di sambut baik warga Selangor yang mahu negeri itu bebas daripada pengaruh tidak bermoral yang di bawa segelintir artis.

Malah rata-rata rakyat yang ditemui menyokong penuh tindakan kerajaan negeri ini yang mahu mengekang gejala tidak bermoral daripada terus berleluasa dan menjadi ikutan remaja di Selangor.

Menurut Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya, Mohd Nasir Yusof, artis sepatutnya menonjolkan tauladan yang baik untuk diikuti, dan bukannya menyampaikan mesej kurang segar dan memesongkan akhlak sesiapa yang melihat persembahannya.

“Mana-mana individu atau kerajaan tidak suka dengan perlakuan artis tidak bermoral ini, malah kerajaan BN pun tak suka bukan PR sahaja. Isu moral ni semua orang tak suka. Artis yang kita mahukan ialah mesejnya untuk membina rakyat, itu yang kita nak,” katanya.

Manakala menurut menurut Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, Mariam Abd Rashid pula, larangan yang diumumkan kerajaan negeri selari dengan program anjuran kerajaan Selangor yang menolak sebarang gejala tidak bermoral yang menjadi ikutan remaja.

“Kita bukan menolak seni, Islam tu pun ada seni tetapi kita tidak mahu contoh-contoh khususnya remaja mengikutnya. Jika kerajaan tidak membuat larangan ini maka menjadi dwi standard terhadap program anjuran kerajaan negeri seperti SPIES, GEMs, anti zina tetapi dalam masa yang sama kita membenarkan pula artis tidak bermoral melakukan persembahan di sini,” katanya.

Sementara itu, bagi Ketua Kampung Sungai Besar, Ibrahim Katiran pula, pendekatan yang diambil oleh kerajaan negeri yang dipimpin oleh pemimpin Islam adalah bertepatan dan satu tindakan mulia.

“Saya setuju dengan larangan artis tidak bermoral ini kerana negara kita dipimpin oleh orang Islam memang tak sepatutnyalah, kalau dapat yang lebih menutup aurat adalah lebih baik,” ujarnya.

Terdahulu Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali melarang artis sama ada tempatan mahu pun luar negara yang terlibat dengan aktiviti tidak bermoral daripada membuat persembahan secara terbuka di Selangor.

Tindakan itu dibuat kerana melihat perkara tersebut akan memberi kesan negatif kepada masyarakat terutamanya golongan muda di negeri ini.

Menurut Hassan, apa yang dilakukan di Selangor hanyalah untuk menguatkuasakan larangan yang termaktub dalam buku larangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM).

“Secara umumnya larangan tersebut terdapat dalam buku kecil yang dikeluarkan oleh JAKIM, mungkin negeri belum ada buku kecil sedemikian, saya akan mintapihak JAIS untuk merangkakan satu buku kecil yang agak lengkap berpandukan apa yang telah dituliskan oleh JAKIM,” katanya.

Tokoh Terkenal Sertai Siri Jelajah Belia Selangor 2011

SHAH ALAM 29 April – Pejabat Menteri Besar Selangor dengan kerja sama Merdeka center menganjurkan Siri Jelajah Belia Selangor 2011 melibatkan empat lokasi dengan penyertaan ahli panel yang mempunyai latar belakang berbeza.

Program bertemakan ‘Anak Muda Peneraju Perubahan’ ini bertujuan menanam minat dan memberi inspirasi kepada anak muda untuk terbabit secara aktif dalam pelbagai kegiatan. Program ini juga bertujuan mengiktiraf peranan anak muda sebagai peneraju perubahan dalam masyarakat.

Siri pertama program jelajah ini akan diadakan di Bangi Golf Resort, pada Jumaat 29 April 2011 bermula jam 3 petang.

Ahli panel yang terlibat termasuk aktivis masyarakat, Hishamuddin Rais, peguam terkenal, Fahda Nur Ahmad Kamar, hos rancangan Mari Mengaji di Tv9, Ustaz Zamri dan Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Che’gu Bard.

Siri kedua pada Sabtu, 30 April di Dewan Sivik, Petaling Jaya dengan ahli panel termasuk Ahli Parlimen Lembah Pantai, YB Nurul Izzah Anwar, pelakon dan pengarah filem/ Drama, Namron, penyanyi dan penggubah lagu, Juwita Suwito, pelakon filem Mualaf, Brian Yap dan peguam, N Surendran.

Pelakon terkenal, Wadina Safiyyah antara ahli panel pada siri ketiga pada 6 Mei di Kolej Taylor, Subang Jaya. Ahli panel lain yang mengambil bahagian termasuk YB Nurul Izzah Anwar, penulis dan pengarah filem bebas, Amir Muhammad, pelakon, Alvin Wong serta aktivis Adrian Yeo dan Lee Khai Loon.

Siri terakhir diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Shah Alam pada Sabtu, 7 Mei 2011 dengan ahli panel terdiri daripada Ketua AMK, Shamsul Iskandar Akin, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Rafizi Ramli.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan hadir bagi merasmikan majlis penutup pada hari terakhir.

Amaran Ribut Petir & Hujan Lebat

PETALING JAYA 29 April – Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan ribut petir dan hujan lebat yang turun di beberapa tempat di negeri Selangor (Daerah Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam) dan Perak (Daerah Kuala Kangsar, Kinta, Batang Padang dan Hilir Perak) dijangka berterusan sehingga lewat pagi, Jumaat 29 April 2011.

Keadaan cuaca yang sama dijangka berlaku di Perak (Daerah Perak Tengah, Manjung, Selama, Larut dan Matang).

Keadaan ini berkemungkinan menyebabkan angin kencang dan banjir kilat.

Selasa, 26 April 2011

Pengajian Mingguan

Ustaz Mohd Asri bin Nordin
Tarikh : 26/4/2011
Hari : Selasa malam Rabu
Masa : Selepas Maghrib

Muslimin muslimat dijemput hadir.

Temuduga Ketua Kampung

Tarikh : 26/04/2011
Hari : Selasa
Masa : 1030 pagi
Tempat : Bilik Mesyuarat 2 PDSB.

Kepada calon2 ketua kampung sila hadirkan diri.
1. En Mohd Hatta Hj Ramli
2. En Khalil Ab Wahab
3. En Husin bin Yusof
4. Hj Yusof bin Darmawi.

Rabu, 13 April 2011

JAIS Pertingkat Kemudahan Pendidikan Agama

TANJONG KARANG 12 April – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berusaha membangunkan beberapa buah sekolah agama yang dilengkapi pelbagai kemudahan bagi memastikan pelajar-pelajar Islam di Selangor mendapatpendidikan agama secara formal dengan selesa, kata Pengarahnya Marzuki Hussin.

Menurut Marzuki lagi sehingga kini JAIS membangunkan sebanyak 584 buah sekolah seluruh daerah melibatkan 12 buah Pra Sekolah, 11 buah Sekolah Rendah Agama Integrasi.


Menurutnya, JAIS juga membangunkan sebanyak 209 buah Sekolah Rendah Agama, 291 buah kafa integrasi, 23 buah Sekolah Agama Menengah dan dua buah Maahad Tahfiz Sains dan Teknologi.

“Jumlah tersebut sebenarnya masih belum mencukupi untuk menampung bilangan murid Sekolah Agama yang semakin bertambah setiap tahun,” katanya dalam ucapannya sempena Majlis Perasmian Sekolah Rendah Agama Sungai Tengi Kanan baru-baru ini.

Beliau berkata, Sekolah Rendah Agama di Selangor merupakan medium pendidikan secara formal bagi kanak- kanak berumur enam hingga 12 tahun manakala skop pembelajaran difokuskan ke arah pengajaran asas al-Quran, amali fardu ain serta penguasaan terhadap asas bahasa Arab dan tulisan jawi.

“Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berusaha membina dua blok bangunan mengandungi empat tingkat di atas sebidang tanah berkeluasan 2.624 ekar bermula 2007 dan disiapkan pada tahun 2009.

“Bangunan itu mengandungi 18 bilik darjah, bilik PIBG, bilik guru, bilik mesyuarat, bilik IT, pusat sumber dan surau sementara sebagai satu infrastruktur dalam memastikan keselesaan pembelajaran kurikulum kepada pelajar,” katanya.

Isnin, 4 April 2011

Lawatan JKKK ke Kelantan Terengganu 2011

Satu lawatan sambil belajar JKKK Parit 4 telah diadakan pada 15 hinga 17 Mac 2011 yang lalu. Lawatan diketuai oleh Abd Manaf Musa dan di bantu oleh En Md Alias Arsat.
Peserta bertolak pada malam Selasa 14/3/2011 dan sampai di Jeli pada selasa 15/3/2011. Selepas solat subuh, bersarapan peserta terus ke JKR 10 dimana satu sambutan ringkas telah diadakan. Selepas itu peserta bergerak ke Wzz Homestay, dan selepas itu melawat pasar Siti Khadijah. kemudiannya maghrib di masjid Tok Guru Pulau Melaka, seterusnya peserta kemudiannya ke Waqaf Che Neh. Gambar akan menyusuk kemudian.




Ahad, 3 April 2011

Kursus SPIES untuk Jkkk 2011

Kursus SPIES untuk JKKK telah diadakan pada 2-3 April 2011 yang lalu di ILDAS. JKKK Kampung Parit 4 menghantar 5 peserta, En Mohamed Ramli Ibrahim, Tn Hj Hasan Ahmad, En Md Noor Salleh, En Omar bin Md Amin dan Hj Abd Manaf Musa menghadirinya. Peserta didedahkan dengan pelbagai kaedah, persembahan slide manakala Tn Hj Nik Md Yusof Nik Ismail sebagai Moderatornya.

Jumaat, 1 April 2011

Umat Islam Diseru Sertai Solat Hajat 28 Mac

SHAH ALAM, – Umat Islam yang berada di Selangor termasuk negeri sekitarnya diseru hadir program Solat Hajat pada 28 Mac di Stadium Malawati, di sini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, solat hajat ini diadakan bagi menangkis fitnah jahat dan jijik terbesar selepas negara merdeka lapor Harakah Daily.


Menurutnya, majlis dimulakan dengan solat Maghrib berjamaah, kuliah Maghrib khas oleh Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan solat hajat akan dilakukan selepas Solat Isyak.

Setelah itu, akan berlangsung sesi Pidato Khas disampaikan pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang berucap malam itu.

Ustaz Idris menambah, rakyat Selangor khususnya dan juga dari negeri lain perlu hadir untuk sama-sama memohon ke Hadrat Ilahi bagi menangkis fitnah besar ini bagi mengelakkan kemusnahan negara.

“Meskipun kita tidak mempunyai kuasa untuk menghalang semua bobrok itu berlaku tetapi harus ingat kita ada Allah SWT. Yang Maha kuasa untuk membantu kita.

“Nabi Muhammad pernah bersabda mengenai Doa adalah senjata orang Mukmin kerana itu umat Islam wajar kembali kepada-Nya dalam semua hal kehidupan,” tegasnya.

Selain itu, beliau berkata, mereka yang belum mempunyai pendirian politik juga boleh hadir kerana implikasi runtuhnya negara bakal menimpa sesiapa sahaja sama ada berparti atau tidak.

Begitu juga dengan rakyat bukan Islam perlu hadir menyatakan sokongan dan mendapat penjelasan terus dari pimpinan PR.

Dalam hal fitnah dan mengaibkan peribadi musuh termasuk politik ini adalah ditolak dan dibenci oleh semua agama, jelasnya.

Bagi mereka yang ingin melakukan islah dan pembaikan terhadap semua sistem yang telah rosak di negara ini, tegasnya, ia mesti dilakukan dengan perubahan kuasa politik berdasarkan kebenaran.

Beri kerjasama sepenuhnya kepada Khalid

SHAH ALAM,Mac – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengesa semua pihak termasuk pembangkang supaya memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Menteri Besar, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim dalam usaha meningkatkan kualiti pentadbiran kerajaan negeri.

“Beta berharap kita semua akan bekerja dengan niat yang baik serta memberi kerjasama yang perlu kepada kepimpinan negeri yang diketuai oleh Memanda Menteri Besar, Tan Sri Dato’ Seri Abd Khalid Ibrahim.

“Beta sendiri sentiasa berbincang dengan Memanda Menteri Besar baik dalam soal pentadbiran, ekonomi dan permasalahan sosial terutama melibatkan negeri di mana beta banyak memberi nasihat kepada Memanda beta demi kesejahteraan rakyat,” tegas baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian ketika merasmikan Sidang Dewan Negeri Selangor Pertama Penggal keempat Dun Kedua Belas, di Shah Alam.

Baginda turut menegaskan kerajaan negeri supaya menguruskan hasil negeri secara telus dan baginda tidak mahu kerajaan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan penyelewengan terhadap harta kerajaan.

“Limpahan hasil yang tinggi tidak akan memberi makna jika tidak diurus secara berhemat dan berhemah.” titah baginda.

“Justeru beta tidak mahu kerajaan melindungi sesiapa yang berlaku curang terhadap amanah ini termasuk di kalangan rakan atau keluarga sendiri. Sebaliknya keberanian mengambil sikap yang tegas dan jelas untuk memerangi salah laku yang demikian wajib disokong oleh semua rakyat.” titah baginda.

“Sikap tegas dan jelas dalam hal sebegini perlu untuk mewujudkan satu budaya pentadbiran yang boleh dipercayai serta dihormati.” titah baginda.

Dalam titah Sultan Selangor juga, baginda mengingatkan kerajaan negeri supaya memantau segala perbelanjaan yang dibuat agar tidak melebihi had sehingga mendatangkan pembaziran sekaligus merugikan pendapatan yang dihasilkan oleh negeri Selangor.

“Pada masa yang sama jangan kita berbelanja secara boros dan tanpa kawalan. Pengalaman lalu harus kita jadikan tauladan. Negeri Selangor hendaklah sentiasa melakukan perbelanjaan secara berhemah dan menggelakkan daripada berlaku pembaziran yang boleh merugikan negeri yang kita cintai ini.” titah baginda.

Persidangan Sidang Dewan Negeri Selangor yang bermula pada 28 Mac hingga 5 April ini akan membahaskan serta menggubal undang-undang berkaitan perkara-perkara tertentu seperti tanah dan sumber-sumber asli (kecuali minyak dan gas), kemudahan awam, kebajikan dan sosial, belia dan sukan, kebudayaan dan pentadbiran negeri dan kerajaan tempatan bagi Negeri Selangor.

Pembangunan ekonomi Selangor membanggakan

SHAH ALAM, Mac – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan rasa gembira baginda atas pencapaian cemerlang ekonomi Selangor dibawah pentadbiran Pakatan Rakyat sekaligus menjadikan negeri ini penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Beta maklum bahawa ekonomi negara kini kembali berada di landasannya dan mengikut sumber Bank Negara Malaysia, kadar pertumbuhan bagi tahun 2010 dicatatkan berjumlah 7.2%. Meskipun perlahan, ia cukup untuk memberi harapan dan petunjuk bahawa pilihan dasar yang diambil adalah tepat. Lebih menggembirakan Beta ialah fakta bahawa negeri Selangor merupakan penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan jumlah 21%.” titah baginda.

“Pada tahun 2010, jumlah pelaburan industri bernilai RM 10.64 billion dengan 325 projek industri berteknologi tinggi diluluskan. Jumlah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 47 projek berbanding jumlah projek pada tahun 2009.” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ke-empat Sidang Dewan Negeri Selangor kali ke-2, di Shah Alam.

Bertitah lebih lanjut, Sultan Sharafuddin berkata Selangor sebagai negeri maju pastinya akan menjadi tumpuan rakyat negeri lain untuk mencari peluang pekerjaan dan seterusnya membantu menjana ekonomi negeri,” titah baginda lagi.

Oleh kerana itu, baginda mengarahkan agar seluruh jentera pentadbiran negeri bekerja lebih kukuh bagi meningkatkan kepekaan dan kelancaran pengurusan untuk kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Sebagai negeri maju yang mendapat banyak hasil, Program Merakyatkan Negeri Selangor (MES) perlu diperhebat ke peringkat seterusnya. Beta berharap Fasa Ketiga Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) iaitu sistem kredit mikro untuk kumpulan sasar di kawasan luar bandar dan pedalaman serta untuk masyarakat miskin di bandar dan pedalaman serta untuk masyarakat miskin di bandar akan segera digerakkan.” titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah, Kerajaan Negeri Selangor maju perlu diterjemahkan dengan erti kata sebenar agar rakyat menerima limpahan sebenar kekayaan negeri Selangor yang melimpah ruah.

“Beta difahamkan bahawa sebanyak RM 50 juta akan disalurkan di bawah Skim Kredit Mikro dengan nama SKIMSEL di bawah Yayasan Dar Al Qard Al Hasan untuk kumpulan sasaran pertama dan peruntukan sebanyak RM 20 juta yang akan disalurkan di bawah Skim Kredit Mikro Miskin Bandar (MIMBAR Selangor) untuk kumpulan sasaran kedua.” titah baginda.

Justeru baginda berharap Selangor berjaya mencapai sasaran kutipan hasil cukai pada tahun ini, di mana peningkatan hasil tersebut mampu memberi perubahan yang positif kepada negeri dan juga rakyatnya.

“Beta gembira dengan pencapaian peningkatan hasil cukai dan urus niaga berkaitan tanah yang meningkat dari kadar 75% ke 80% daripada keseluruhan hasil negeri. Beta berharap sasaran kutipan hasil sebanyak RM 152 juta pada tahun ini dapat direalisasikan.” titah baginda.

Sejak tahun 2008, Kerajaan Negeri Selangor telah berjaya melaksanakan program-program yang dirancang dalam Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Antara Program MES yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC), Bekalan Air Percuma sebanyak 20 meter padu, Hadiah Anak Masuk Universiti dan Tabung Pendidikan Anak-Anak Pekerja Ladang.

Usaha murni kerajaan negeri Selangor dengan mewujudkan program sedemikian agar dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat disamping dapat mengekalkan status negeri maju dan terus disegani

Selangor Catat Lebihan Pendapatan

SHAH ALAM 1 April - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan kerajaan Selangor memperolehi lebihan pendapatan sebannyak RM 124.24 juta pada kewangan berakhir Disember 2010 justeru menolak dakwaan pembangkang bahawa Selangor mengalami defisit sebanyak RM250 juta pada tahun kewangan lepas.
Menurut Tan Sri Khalid, Selangor berjaya mencatat lebihan pendapatan kerana kecekapan dan ketelusan Pakatan Rakyat menguruskan pentadbiran negeri.
“Jabatan Kewangan Negeri telah buat kira-kira dan telahpun dihantar ke audit bagi tempoh tahun kewangan Disember 2010 kita dapat lebihan RM 124.24 juta berbanding kekurangan RM65 juta pada tahun kewangan berakhir Disember 2009,” jelas Khalid pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.

Jelas Tan Sri Khalid lagi pelbagai program kerajaan negeri seperti Program Merakyatkan Ekonomi Selangor dan tata kelola baik sehingga menarik minat pelabur dalam dan luar negara menjadikan Selangor antara penyumbang hasil tertinggi di negara ini.

Malah Khalid dengan gembira mengumumkan perolehan hasil negeri tahun lalu meingkat lebih 20 peratus.

“Ini menjadikan hasil kutipan gabungan negeri berjumlah RM 732.25 juta, berbanding RM608.1 juta pada Disember 2009 iaitu peningkatan sebanyak 20.43 peratus,” kata beliau.

Masalah Hutang Talam Corporation yang diselesaikan dengan bijak turut membantu pendapatan kerajaan negeri.


Prestasi cemerlang tahun lalu menunjukkan potensi sebenar negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat ini.

“Hasil negeri pada tahun 2009 meningkat dan kalau kita tak ambil skim susun semula Hutang Talam, tetap dapat 120.9 peratus lebih dari anggaran tahunan 101.33 peratus. Secara perbandingan tanpa mengira hutang Talam hasil negeri meningkat sebanyak 14 peratus,” terang Khalid.

Program Tuisyen Rakyat Berjaya

SHAH ALAM, 30 Mac – Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) yang dilaksanakan secara percuma di seluruh negeri Selangor mencapai kejayaan apabila program tersebut banyak membantu mempertingkatkan prestasi dan mutu pelajaran pelajar di negeri ini dengan 8,841 sudah mengikuti program yang bermula sejak 2009.

Daripada jumlah itu seramai 4,333 pelajar adalah bagi 2009 dan 4,508 bagi 2010 menerima manfaat program yang dijalankan oleh kerajaan negeri Selangor.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dalam sidang DUN hari ini menjelaskan bahawa PTRS merupakan program tuisyen percuma yang dianjurkan kerajaan negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Katanya, PTRS itu ditawarkan kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh Selangor dan pelajar yang terlibat adalah berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai tahap pencapaian akademik sederhana.

Tambahnya, setiap DUN diperuntukkan seramai 100 pelajar bagi menyertai PTRS tersebut.

“Mekanisma yang dipilih untuk mengukur keberkesanan PTRS adalah berdasarkan keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR), keputusan peperiksaan Tingkatan Empat (akhir tahun), ujian prestasi pelajar anjuran PTRS dan keputusan SPM.

“Perubahan sikap yang ditekankan dalam program ini adalah minda positif, matlamat hidup yang jelas, kesedaran rasa tanggungjawab serta peningkatan mutu penampilan akhlak yang baik,” katanya.

Dr Halimah berkata, segala maklum balas mengenainya diperolehi daripada Koordinator Pembangunan Modal Insan (KPMI), guru-guru PTRS, ibu bapa dan penjaga pelajar serta rakan sebaya.

Tambahnya, perbandingan pendaftaran pelajar mengikut tahun 2009, 2010 dan tahun ini mencatakan jumlah yang semakin meningkat dan ini membuktikan PTRS berjaya membantu mutu pendidikan pelajar di negeri ini.

Pilihanraya Peringkat JKKK

HAH ALAM 31 Mac - Pilihan Raya bagi Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung bakal dimulakan di beberapa buah kampung di negeri ini bagi membudayakan proses demokrasi terus subur dan berkembang.

Menurut Exco Negeri Selangor Ean Yong Hian Wah dalam sidang DUN berkata bagaimanapun proses tersebut perlu menjalani perbincangan dan pelbagai kajian sebelum dilaksanakan secara sepenuhnya kelak.

“Kerajaan Negeri sememangnya bercadang untuk melaksanakan pilihan raya umum di Kampung Baru dengan Pelaksanaan Projek Perintis Pilihan Raya Pengerusi JKKK yang akan dijalankan di Kampung Bagan Pulau Ketam, Kampung Baru Pandamaran dan Kampung Baru Sungai Jarom.

“Bagaimanapun ia masih dalam proses perbincangan bersama jabatan teknikal yang terlibat dalam merealisasikan projek perintis tersebut,” kata Ean ketika menjawab soalan daripada ADUN Kajang Lee Kim Sin.

Menurut Ean lagi setakat ini kerajaan Negeri masih mengguna pakai Manual Panduan Kerja Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung yang sedia ada dengan lantikan dibuat oleh Menteri Besar atas nasihat Exco-Exco Negeri.

Ean menerangkan bahawa Pengerusi JKKK yang dilantik akan bertugas selama 2 tahun dan dinilai melalui penilaian yang dilakukan Kerajaan Negeri.

Ean turut mengulas mengenai rancangan peningkatan kualiti hidup di kampung-kampung baru yang dijalankan Kerajaan Negeri.

Paling asas ialah meningkatkan infrastruktur dan kemudahan agar dapat dinikmati rakyat Selangor yang tinggal di kampung baru.

“Meningkatkan infrastruktur asas seperti jambatan, longkang jalan, dewan dan sebagainya untuk kegunaan awam. jambatan rosak tanpa penyelenggaraan berpuluh tahun telah digantikan dengan jambatan simen demi keselamatan,” jelas Ean.

Selain itu pelbagai program dirangcang demi memastikan nasib penduduk tidak terabai seperti ketika berada di bawah pentadbiran Barisan Nasional.

“Laman web 1-kampung baru juga mempromosikan tempat tarikan, makanan istimewa dan sejarah kampung baru untuk bantu perkembangan ekonomi tempatan.

“Cadangan kajian penyelidikan mengenai Kampung Baru di Selangor akan melihat peluang penambah baikan taraf hidup penduduk kampung baru dari segi ekonomi pentadbiran dan pengurusan kampung,” kata beliau lagi.

Hasil Padi Selangor Meningkat

SHAH ALAM 31 Mac – Hasil pengeluaran padi Negeri Selangor meningkat melalui Program Meningkatkan Hasil Padi Negeri Selangor yang dijalankan Kerajaan Pakatan Rakyat dan berjaya meningkatkan kadar pendapatan para pesawah.
Menurut Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari hal ini jelas membuktikan kerajaan negeri berjaya menepati matlamat yang disasarkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Negeri Selangor bagi meningkatkan hasil padi dan pendapatan pesawah.

Kerajaan Negeri peruntukkan sebanyak RM 3,013, 302 pada tahun 2009, RM 4, 930,000 pada tahun 2010 dan RM 3, 050,000 pada 2011 untuk meningkatkan hasil padi.

“Usaha mempertingkatkan pengeluaran padi dari 5.1 tan semusim kepada 7.5 tan semusim menjelang 2013,”katanya.

Menjawab soalan ADUN Sabak Datuk Warno Dogol, Yaakob menyatakan betapa kerajaan negeri sentiasa memberi sumbangan yang berkesan dalam meningkatkan pengeluaran hasil padi di negeri ini.

Walaupun tidak mempunyai wang seperti kerajaan Pusat, sistem yang diberikan kerajaan negeri jauh lebih berkesan dalam menguruskan hal ini.

“Kerajaan Persekutuan hanya beri sumbangan dari segi subsidi. Kerajaan Negeri (sediakan) sistem yang memang terbukti berkesan.

“Hasil menurun hujung tahun lepas bila kerajaan Persekutuan monopoli tapi meningkat awal tahun ini,”tegas Yaakob.

Malah katanya, pendapatan pesawah juga semakin terjamin di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat apabila pendapatan mereka berjaya ditingkatkan.

“Daripada 2,408 pesawah yang terlibat, didapati peratusan bilangan pesawah yang berpendapatan antara RM1,000 ke RM1,500 adalah 55 peratus dan melebihi RM1,500 ialah 16 peratus atau 385 pesawah.

“Manakala pada musim 2010 tambahan 857 pesawah telah mengangkat pendapatan mereka di mana mereka berpendapatan RM 1000-1500 meningkat 752 pesawah dan melebihi RM1,500 seramai 105 pesawah,” kata Yaakob lagi