Selasa, 18 Ogos 2009

Nangka Madu Mastura

SEKENDI – Sebanyak RM90,000 diperuntukkan untuk projek tana man Nangka Madu Mastura (NMM) seluas lapan hektar, di sini.
Menurut Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Selangor, Nadzli Che Long, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bernam Jaya adalah yang pertama menerima peruntukan untuk projek tersebut.

“PPK Bernam Jaya adalah yang pertama di Selangor menjalankan projek tanaman NMM dan ia akan diikuti oleh kawasan lain tahun hadapan. Apa yang kita harapkan hasilnya nanti mampu untuk dibanggakan. “Projek ini perlu dijaga dengan baik untuk pastikan projek berjaya berbuah hasil manakala benih NMM ini adalah benih yang bermutu dan sudah diuji oleh Mardi dan boleh dijadikan tanaman berpotensi untuk dimajukan,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran projek NMM PPK Bernam Jaya, di sini.

Dengan keluasan lapan hektar dengan setiap ekar akan ditanam 80 hingga 100 pokok NMM bergantung kepada keadaan tanah dan dianggarkan 2,000 pokok diberikan untuk perlaksanaan projek ini. Kata Nadzli, setiap anak pokok bernilai RM25 dan setiap pokok diberikan tambahan RM25 lagi untuk baja dan racun selama setahun.

“Anggaran harga bagi setiap kilogram NMM ini adalah sekitar RM1 hingga RM1.50 dan kita anggarkan pokok NMM akan mula mengeluarkan hasil pada tahun ketiga, dijangkakan setiap pokok mampu menghasilkan dua biji setiap bulan. “Untuk tahun ke-3, kita anggarkan 5.7 metrik tan pengeluarannya manakala pada tahun ke-4, kita anggarkan hasilnya meningkat 11.4 metrik tan. Tahun seterusnya akan terus berlaku peningkatan hasil menjadi 28.5 metrik tan diikuti 34.23 metrik tan pada tahun ke-6 dan 384.9 metrik tan pada tahun ke-7,” katanya.

Setiap peserta yang menjalankan projek tanaman NMM ini perlu mempunyai tahap disiplin yang tinggi dalam menjayakan projek sehingga mampu mengeluarkan hasil seperti mana yang dianggarkan. Katanya, peserta projek adalah mereka yang beruntung kerana diberikan peluang untuk meningkatkan hasil pendapatan.

“Kerajaan prihatin di mana rakyat didahulukan menerusi peruntu kan yang diberikan. Dalam hal ini, pegawai kita akan beri bimbingan dan sokongan dalam menjayakan projek. “Peserta perlu gigih dan menjadi contoh sejajar hasrat kerajaan untuk menambah pendapatan rakyat. Kerajaan sudah membantu, jika masih gagal, jangan salahkan kerajaan tetapi salahkan diri sendiri,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan