Isnin, 22 November 2010

JKKK perlu proaktif dalam menyebarkan maklumat

SHAH ALAM, 20 Nov - Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) diminta lebih proaktif di dalam menyebarkan maklumat berkenaan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) bagi membantu usaha kerajaan negeri sampai kepada seluruh warga emas yang memerlukan.

Exco Pendidikan,Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali memberitahu, penglibatan JKKK penting dalam memastikan objektif kerjaan negeri membantu golongan kurang berkemampuan tercapai.

Menurutnya,tanpa penglibatan dan bantuan daripada pihak JKKK, skim bantuan berkenaan tidak dapat dinikmati golongan yang layak.

“JKKK diharap memainkan peranan penting dalam menyebar luas maklumat dan membantu mendaftar warga emas yang layak.

“Kami tidak mahu golongan yang layak tercicir daripada menikmati bantuan yang telahpun disediakan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Halimah yang juga Adun Selat Klang berkata,pendaftaran skim berkenaan adalah percuma dan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas yang bermastautin di negeri ini secara sah lebih daripada 15 tahun, layak memohon skim bantuan ini.

Tambahnya lagi, waris atau keluarga yang mendaftar dalam skim ini akan mendapat sumbangan sejumlah RM2,500 dan RM1,000, akan diberikan dalam tempoh 24 jam selepas menerima laporan kematian warga emas yang berdaftar.

Manakala bakinya akan diberikan kepada keluarga si mati dalam masa terdekat.b

Beliau berharap dengan adanya skim ini, mampu meringankan beban ahli keluarga bagi menampung kos pengebumian dan sebagainya.

Skim mesra Usia Emas

RM 2,500 – kepada waris / keluarga (warga emas yang mendaftar SMUE)
RM 1,000 – diberikan dalam tempoh 24 jam selepas menerima laporan kematian

Dato Ramli bersara wajib

SHAH ALAM, 22 Nov – Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, hari ini mengesahkan bahawa beliau akan melepaskan jawatannya selepas 25 tahun berkhidmat dalam kerajaan negeri berikutan tempoh persaraannya akan berkuat kuasa awal Januari tahun depan.

Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, sepanjang tempoh perkhidmatan Ramli, beliau berjaya menjalankan tugasnya dengan baik dan mempunyai idealisme yang mampu membebaskan penjawat awam daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Menurut Khalid, kerajaan negeri sedang mencari calon-calon yang berkelayakan bagi menjawat jawatan tersebut dalam tempoh terdekat ini.

“Kita sekarang dalam proses temu duga dan mencari mereka-mereka yang fikirkan mampu mengantikan setiausaha kerajaan negeri dan proses ini ada hubungannya dengan Jabatan Perkhidmatan Awam,” katanya.

Khalid berkata demikian selepas mempengerusikan Majlis Sambutan Hari Inovasi Pentadbiran Kerajaan Selangor Tahun 2010 di Dewan Jubli Perak, Shah Alam , hari ini.

Khalid berkata, calon-calon tersebut haruslah terdiri daripada kalangan Pegawai Tinggi dari perkhidmatan Awam serta berkelayakkan memegang jawatan tersebut.

Dalam pada itu, Ramli turut menerima Anugerah Jasamu Dikenang atau AJD sebagai satu pengiktirafan khas yang diwujudkan bagi kakitangan yang telah berkhidmat melebihi tempoh 25 tahun dalam perkhidmatan awam sama ada yang masih berkhidmat atau pun akan bersara wajib pada tahun 2010.

Dan pada tahun ini, seramai 19 kakitangan yang masih berkhidmat dan 3 orang kakitangan yang telah bersara telah disenaraikan sebagai penerima AJD.

Ahad, 7 November 2010

Dalam Kenangan, Al Fatehah

Allahyarham Tn Hj Maad Hj Adnan, ketua Kampung Parit 4 Sg Hj Durani, kembali ke rahmatullah pada hari khamis 4/11/2010 di Hospital Johor Baru kerana sakit buah Pinggang. Jenazahnya di bawa dari Johor Baru ke Sungai Besar dan tiba di Masjid Majmuriah sebelum solat Isya. Jenazah disembahyangkan selepas solat isya dan kemudiaannya di semadikan di tanah Perkuburan Islam Sungai Besar.Tuan Hj Salleh Kasim dan Hj Muhammad Kasim turun mengiringi jenazah hingga ke Masjid makmuriah Sungai Besar. Al Fatehah





























Isnin, 1 November 2010

Daftar Pemilih baru Jadi Tumpuan

SHAH ALAM, 1 Nov – Kerajaan Pakatan Rakyat (Pakatan) Negeri Selangor berharap program Pendemokrasian Rakyat Selangor Fasa ke-2 akan memperkukuhkan keanggotaan ahli dan meningkatkan jumlah pendaftaran pemilih baru.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata, misi program itu adalah meletakkan satu fokus dan kefahaman kerja ahli di peringkat akar umbi seluruh negeri.

“Saya menyeru semua petugas dan ahli Pas, KEADILAN dan DAP agar bangun daripada lamunan teruskan gerak kerja daripada sekarang kerana berkemungkinan besar Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) akan diadakan pada Jun 2011,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut di Bangunan Jubli Perak di sini semalam.

Beliau berkata, program itu akan berjalan sepanjang tahun dan ditetapkan lapan minggu bagi proses pendaftaran pemilih baru serta setiap mereka yang bertugas perlu bertemu dengan penduduk setempat mengikut cawangan atau kawasan masing-masing.

“Semoga kerja-kerja ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa agar kemenangan Pakatan akan terus berkekalan untuk menerajui negeri ini dengan sebaiknya.

”PRU ke -13 adalah pilihan raya yang amat penting, oleh itu kita bertanggungjawab untuk memastikan kemenangan ini agar hasrat untuk mengambil Putrajaya akan tercapai demi membantu rakyat di Selangor ini khususnya,” katanya.

Beliau juga meminta semua peringkat pimpinan sentiasa bekerja keras dengan melakukan berbagai aktiviti untuk bertemu rakyat.

Katanya, pertemuan itu bukan dilakukan pada saat pilihan raya sahaja tetapi setiap waktu agar rakyat melihat peranan dan tanggungjawab yang dijalankan oleh saf pimpinan dan semua petugas PR.

Menurutnya, semua aktiviti di Unit Peti Undi (UPU) atau cawangan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu dirancang ke arah pendaftaran pemilih baru atau pengundi muda.

Hasan berkata, sejak lebih 50 tahun terdapat sebilangan rakyat masih kabur dalam memahami prinsip-prinsip demokrasi dan perjuangan politik.

Katanya, ia terbukti apabila di Selangor sahaja, seramai 700, 000 rakyat yang layak mengundi belum lagi mendaftar sebagai pemilih dan orang Melayu merupakan golongan yang agak rendah kesedaran politik serta fahaman demokrasi.

“Sebab punca berlakunya buta kefahaman ini adalah disebabkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang seharusnya bertanggungjawab di atas situasi itu kerana parti itu menjadikan rakyat mandul pengetahuan serta tindakan terhadap demokrasi dan politik,” katanya.