Jumaat, 2 Disember 2011

Tahun Baru Islam 1433

KLANG 29 November : Jika sebelum ini sambutan tahun baru hanya disambut dengan meriah pada 31 Disember setiap tahun, umat Islam kini harus berbangga dengan sambutan “Tahun Baru Islam” yang mengalami satu transformasi keraian di Selangor.

Suntikan nafas baru ini bertujuan memberi kefahaman dan pendedahan kepada golongan remaja dan belia akan pentingnya sambutan tahun baru kalendar Islam yang juga dikenali sebagai “Maal Hijrah”.


Pagi semalam, satu majlis Tahun Baru Islam 1433 telah diadakan di dalam suasana meriah penuh berwarna-warni di Masjid Nurul Iman Kampung Delek di sini.

Majlis sambutan tersebut dimulakan dengan perarakan sepanjang 1.6km dari bekas tapak pasar malam Kampung Delek oleh 12 kontinjen yang mewakili pelbagai jabatan kerajaan, masjid-masjid dan sekolah-sekolah sekitar Klang.

Lebih menarik, perarakan itu turut disertai Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr. Halimah Ali serta Pegawai Daerah Klang, Datuk Bakhtiar Husin.

Ketika ditemubual, rata-rata penduduk merasakan sambutan seperti ini seharusnya diteruskan dan diberi pengisian yang lebih oleh umat Islam berbanding sambutan tahun baru pada 31 Disember yang mempunyai ciri-ciri kebaratan.

“Kesan kepada golongan muda dan generasi baru amat baiklah. Orang akan mengenal tahun baru Islam dengan lebih lagi.

“Tahun Baru Islam ini patutnya lebih dipopularkan lagi di kalangan rakyat Malaysia secara umumnya”.

“Kita harap setiap tahun di adakan dan diperkembangkan di kawasan lain juga,” kata seorang pegawai Pejabat Kesihatan Klang Nor Azam Azhar yang mengambil bahagian di dalam perarakan itu.

Bagi Khairulaizawati Khalid dari Pejabat Daerah Klang, beliau berharap program Maal Hijrah seperti ini diadakan setiap tahun bagi merapatkan lagi hubungan di antara pejabat kerajaan dan orang awam.

“Kali ini agak meriah berbanding dengan sembelum ini. Jadi diharapkan ia dapat diadakan setiap tahun supaya dapat mengumpul pejabat kerajaan dan penduduk untuk menyambut satu yang sangat bagus di dalam kalender Islam,”katanya.

Sementara itu, Dr Halimah yang menjadi pencetus kepada program pagi itu berkata umat Islam seharusnya mempunyai jati diri yang teguh dari segi fizikal, mental dan rohani bagi menjamin kekuatan iman dalam menghadapi cabaran hari ini.

“Kita harus pastikan masjid yang ada bersifat magnetic iaitu mampu menarik minat masyarakat untuk ke masjid terutama golongan muda, ” ujarnya.

Beliau juga mensasarkan satu penjenamaan semula terhadap sambutan tahun baru bagi masyarakat Islam yang sebelum ini lebih cenderung menyambut tahun baru pada 31 Disember.

Acara itu diakhiri dengan Anugerah Maal Hijrah dan hadiah saguhati kepada peserta perarakan.

Setiap tokoh menerima RM1,000 dan setiap kontinjen yang memenangi kategori yang dipertandingkan diberi wang tunai, trofi dan sijil penghargaan.

Wi-Fi Percuma seluruh Selangor

SHAH ALAM,1 DISEMBER : Kerajaan Selangor akan memastikan 150 zon Wi-fi percuma di seluruh negeri tersebut di capai mulai tahun depan berbanding 24 Zon yang sedia ada dalam membawa anjakan baharu dalam menyampaikan informasi kepada rakyat dengan lebih pantas dan memberikan peluang kepada rakyat mendapat akses maklumat yang lebih luas.

ADUN Rawang Gan Pei Nei berkata dengan adanya pemerkasaan daripada segi informasi , masyarakat akan lebih memahami semangat demokrasi dengan kebebasan maklumat yang membolehkan orang awam mendapat maklumat lebih tepat berbanding hanya mendapat informasi daripada sebelah pihak sahaja.

“Dan kita tahu sekarang ini, media arus perdana jarang memaparkan berita berkenaan dengan khasnya berkaitan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, sebab itu dengan adanya Wi Fi percuma ini lebih ramai orang boleh mendapatkan akses kepada informasi yang lain daripada yang ada sebelum ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, setakat ini khidmat Wi-Fi secara percuma ini sudah bermula di beberapa kawasan termasuk di Shah Alam dan tempat-tempat tertentu, tetapi belum menyeluruh lagi.

Di kawasan bandaraya Shah Alam, sehingga kini beberapa kawasan sudah menyediakan perkhidmatan wi-fi percuma iaitu di Pejabat SUK, Plaza Masalam, Dataran Shah Alam, Seksyen 2, Seksyen 3, Seksyen 6 dan Seksyen 8.

Kerajaan Negeri juga merancang untuk menubuhkan jumlah keseluruhan sebanyak 24 zon wi-fi percuma di seluruh bandaraya Shah Alam, dan jumlah keseluruhan sebanyak 150 lokasi di seluruh Negeri Selangor.

Hingga setakat ini, di luar Shah Alam kemudahan ini sudah disediakan antaranya di Hulu Selangor termasuk bandar Kuala Kubu Bharu, Pekan Baru Batang Kali dan Hulu Bernam.

“Itulah sebabnya perkara ini perlu disegerakan pemasangan Wi-Fi percuma ini di kawasan bandar dan desa, supaya rakyat dapat mencapai akses kepada informasi dan mendapatkan berita daripada media alternatif,” katanya.

Berkenaan dengan kos untuk pemasangan Wi-Fi percuma ini untuk diperluaskan di seluruh Selangor, Gan mencadangkan agar kerajaan negeri memberikan peruntukan yang mencukupi untuk memastikan kelancaran projek ini.

” Saya menyeru kepada kerajaan negeri agar dapat memberikan keutamaan daripada geran Selangorku, yang mana pihak Menteri Besar sebelum ini umumkan dalam sidang DUN, supaya sebahagian besar dapat digunakan untuk menyediakan Wi-Fi percuma ini,” katanya.

Semasa Pakatan Rakyat mengambil alih Selangor, jumlah penebusan penggunaan internet ketika itu hanya 23.4 peratus, dan kini telah meningkat dengan cepat.

Pada suku ke 4, 2008, ia meningkat ke 33.3, manakala 2009, 49.1 peratus.

Kerajaan Selangor mensasarkan tanda aras KPI untuk penembusan internet di seluruh negeri diletakan pada kadar 57 peratus.