Selasa, 22 November 2011

Petani Tuntut Subsidi Padi dinaikkan RM 50.

SEKINCHAN, 22 NOV : Hampir 100 petani dan pesawah di sekitar Sekinchan, Sungai Burung dan Sungai Panjang menuntut Menteri Pertanian, Industri Dan Asas Tani Datuk Seri Noh Omar untuk meletak jawatan sebagai menteri ekoran kegagalan beliau secara berterusan bagi membela nasib golongan petani dan pesawah khususnya dalam memenuhi permintaan agar harga subsidi padi dinaikkan selepas harga itu iaitu RM24.81 tidak disemak semenjak 20 tahun.

Bertempat di Site B Sekinchan,golongan petani dan peswah berkumpul sambil memegang kain rentang melaungkan slogan “hidup petani” , “naik subsidi RM50 seratus Kilo” dan “Noh Omar letak jawatan” mendesak agar permintaan golongan petani dan pesawah diambil perhatian dan tindakan segera dilaksanakan oleh pihak kerajaan pusat demi memastikan kebajikan nasib pesawah terus terjamin di masa hadapan.

ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim yang turut sama menyertai perhimpunan aman itu berkata agar kerajaan pusat tidak mengamalkan unsur monopoli dalam urusan penjualan padi yang mengakibatkan kerugian kepada pendapatan pesawah.“Kita minta supaya harga padi diapungkan untuk penjualan secara bebas,kita tidak mahu Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS) memonopoli pasaran,kita mahu harga padi dibeli kepada sesiapa yang menawarkan pada harga yang tinggi,harga itu perlu diapungkan supaya pasaran dijual pada harga bebas.

“Kalau pembeli padi untuk membeli pada harga RM1,400 pada satu tan bagi kepada mereka yang sanggup membelinya,kalau ada pengilang yang hendak membeli pada harga RM1,600 pada satu tan kita jual kepada mereka yang sanggup , jangan ada sekatan, kerana petani perlu menunggu satu tahun bagi dua musim untuk menuai sahaja untuk hasil pendapatan mereka,mereka hidup dalam keadaan tersepit dan kesusahan angkara kos saraan hidup yang semakin tinggi,” katanya.

Suee Lim juga meminta agar kerajaan pusat menyemak harga subsidi padi dan menaikkan kepada RM50.00 ekoran pesawah terpaksa menanggung pelbagai kenaikan kos dan sara hidup yang tinggi.

“Meminta bahawa subsidi padi yang selama 20 tahun tidak disemak berada di paras RM24.81 untuk seratus kilogram sejak 20 tahun yang lalu,kita minta Yang Berhormat ( Noh Omar ) semak harga supaya dinaikkan daripada RM24.81 kepada RM50.00 untuk seratus kilo, kerana petani berpendapat dengan cara ini yang paling mujarab dan paling berkesan untuk mengagihkan bantuan subsidi itu terus kepada tangan petani,” katanya.Beliau juga menggesa Noh Omar agar melepaskan jawatan menteri ekoran laporan Ketua Audit Negara 2010 yang mendapati berlaku ketirisan wang RM110 juta yang sepatutnya diberi kepada pesawah untuk skim peningkatan hasil padi.

“Baru-baru ini berlaku dalam Laporan Ketua Audit Negara, yang mengatakan pada 2010 ada sejumlah wang sebanyak RM 110 juta telah lesap ataupun hilang di bawah Kementerian dan Industri Asas Tani, duit itu telah hilang, duit itu adalah untuk membantu petani di bawah insentif peningkatan hasil padi, skim ini ialah jika bendang mereka berjaya menghasilkan contohnya pada musim yang pertama 5 tan,musim kedua 7 tan , dan musim ketiga 7 tan, maknanya sudah ada peningkatan sebanyak 2 tan, dan 2 tan itu akan dibayar dengan peningkatan hasil padi iaitu 1 tan sebanyak RM650 dan 2 tan sebanyak RM1,300.

“Maknanya bantuan kepada golongan petani hilang,oleh yang demikian petani hari ini berdiri di sini, menyatakan rasa tidak puas hati, ke mana duit ini pergi dan Noh Omar perlu menjawab ke mana lesapnya wang RM110 juta.Dan jika Noh Omar tidak boleh menjawab ke mana hilangnya wang ini kita mendesak agar beliau meletak jawatan kerana gagal membela hak petani,” tegas beliau.

Sementara itu, wakil ketua masyarakat bagi petani dan pesawah yang ditemui TVSelangor/Selangor Kini menyeru kerajaan pusat mengambil inisiatif untuk membantu mereka ekoran kenaikan harga untuk baja dan racun serta mengambil berat masalah pesawah yang mengalami serangan serangga yang merosakkan padi serta cuaca pada musim tengkujuh yang tidak menentu yang boleh merosakkan tanaman padi.

Menurut petani,Zulkifli Ibrahim, petani di kawasan sini mengalami masalah serangan serangga sehingga menjejaskan tanaman padi yang menyebabkan kerugian.
“Dan kita sedia maklum padi ini tanaman yang terdedah kepada serangan serangga dan cuaca,kalau musim tengkujuh berlakunya ribut dan akan menyebabkan sesetangah padi akan tumbang,” katanya.

Ketua AMK Cabang Sungai Besar,Azhar Achil beliau berkata harga subsidi padi tidak pernah dinaikkan,tetapi harga barangan saban tahun berlaku kenaikan cukup tinggi dan perkara ini amat membebankan golongan pesawah khususnya kepada golongan muda yang baru dan mempunyai bilangan anak kecil bersekolah yang terbeban dengan kenaikan harga barang tanpa ada pembelaan daripada kerajaan Pusat.

“Jadi dengan ini kita mendesak agar Noh Omar bertanggungjawab terhadap pesawah-pesawah khususnya di seluruh negara terutama di Sekinchan yang merupakan jelapang padi di negeri Selangor. Kalau kita lihat pada hari ini golongan warga asing berada di sawah kerana anak-anak muda telah keluar kawasan ke tempat lain untuk mencari kerjaya yang lain kerana bidang pertanian bagi mereka tidak melihat satu peluang yang menjamin masa hadapan, jadi kita desak perkara ini di ambil serius oleh pihak kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu , Ketua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit 7 Sekinchan, Rojikin Sarbini berkata hanya dengan kenaikan subsidi padi dapat membantu pesawah berhadapan kenaikan harga barangan.

“Jika subsidi padi masih ditakuk yang lama, maka pesawah tidak mendapat faedah daripada peningkatan hasil padi di samping itu mereka terpaksa berhadapan dengan kenaikan harga barang yang terlalu tinggi contohnya seperti baja, racun .

“Kalau input barang-barang ini terus meningkat maknanya ia tidak membantu meringankan bebanan kepada para petani disebabkan masih ditakuk yang lama,sebab itu kami petani menuntut supaya kenaikan harga subsidi itu dikaji semula daripada RM24.81 kepada RM50.00. Jadi kenaikan ini serba sedikit dapat membantu menampung kenaikan harga barangan ,”katanya.

Rabu, 16 November 2011

MPK kerjasama dengan JKKK

KLANG,15 NOVEMBER- Majlis Perbandaran Klang (MPK) mempertingkatkan kerjasama dengan Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) bagi menyelesaikan permasalahan setempat disamping memudahkan urusan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di situ.

Pemangku Yang Di Pertua Pertua MPK,Ikhsan Mukri berkata,kerjasama itu juga mampu meningkatkan kualiti kerja majlis dalam menyelesaikan permasalahan setempat antaranya sampah,jalan dan kemudahan infrastruktur yang lain.

Menurutnya, pembabitan secara aktif JKKK dengan PBT secara tidak langsung menjana pembangunan kawasan selain mewujudkan kesejahteraan dan ketenteraman di tempat mereka kelak.

“Pertemuan ini membuka lembaran baru dalam usaha majlis memantapkan lagi sistem perkhidmatan kami di semua kawasan pentadbiran dan pada masa yang sama mengeratkan lagi perhubungan yang sedia ada.

“Malah pada masa yang sama,JKKK juga dapat mengenali dengan lebih dekat ketua-ketua jabatan yang sentiasa komited menjalankan tugas mengikut bidang dan tanggungjawab masing-masing”katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Program Ramah Mesra Bersama JKKK di Dewan Mesyuarat,di sini.

Hadir sama ialah ahli majlis,ketua-ketua jabatan dan ketua –ketua kampung yang terlibat.

Ikhsan berkata,majlis juga sentiasa menerima pandangan dan cadangan daripada pemimpin setempat kerana ia merupakan elemen yang diperlukan dalam penambahbaikan perkhidmatan MPK di situ.

Menurutnya,ketua kampung merupakan individu paling hampir dengan penduduk dan mereka juga berperanan sebagai orang perantaraan apabila timbulnya sesuatu isu di kawasan masing-masing.