SHAH ALAM 30 NOV: Selangor berjaya mencatatkan nama sebagai negeri
penyumbang tertinggi bagi hasil pertanian negara apabila mengeluarkan
42.7 peratus atau RM32 juta dari jumlah keseluruhan keluaran pertanian
negara.
Selain
itu, pengeluaran padi di Selangor juga merupakan negeri pengeluar padi
tertinggi apabila merekodkan hasil purata pengeluaran padi 6.15 tan
setiap hektar berbanding pengeluaran padi Malaysia 4.49 tan setahun.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kejayaan ini
dicapai dari hasil usaha gigih para petani dengan kerjasama
jabatan-jabatan berkaitan.
“Semua usaha dan kerjasama semua pihak adalah penting kerana Negeri
Selangor sebenarnya mempunyai tanah yang terhad untuk pertanian.
“Namun begitu hasil yang tinggi dapat dicapai dengan setiap ruang
kawasan tanah digunakan sepenuhnya dengan bantuan penggunaan teknologi
dan inovasi pertanian terkini,” kata Abdul Khalid.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Agrofest Selangor
2013 di Bulatan Bazarena, Stadium Shah Alam di sini malam tadi.
Kata
beliau lagi, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sejumlah RM23.7 juta
bagi pembangunan luar bandar dalam program pembangunan ekonomi nelayan
dan penternak.
“Jika dillihat dari jumlah peruntukkan tersebut ia menunjukkan bahawa
Kerajaan Negeri amat mengambil berat terhadap pembangunan sektor
pertanian di Selangor,” kata beliau.
Dalam Majlis Perasmian Pesta Agrofest Selangor 2013 yang dijenamakan
semula itu, Abdul Khalid turut menyampaikan hadiah kepada penerima
anugerah petani, penternak dan nelayan Selangor 2013.
Pemenang bagi kategori usahawan ternakan, usahawan akuakultur,
usahawan tanaman dan usahawan industri asas tani terbaik masing-masing
membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 diikuti di tempat kedua dan
ketiga dengan hadiah wang tunai masing-masing RM2,000 dan RM1,000.
Sementara itu Jawatankuasa Sungai Leman 2, Parit 9, Sungai Leman
Sabak Bernam berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 apabila
diumumkan sebagai pemenang kategori Pengurus Projek Peningkatan Padi
Terbaik.
Manakala di tempat kedua, Jawatankuasa Parit 14,15 Peket 100, Sungai
Besar, Sabak Bernam dengan membawa pulang RM30,000 diikuti ketiga
Jawatankuasa Parit 5 Timur, Sungai Besar Sabak Bernam dengan memperolehi
RM20,000.
Pesta
Agrofest Selangor 2013 yang diadakan kali ketiga sejak 2011 merupakan
acara tahunan yang menghimpunkan gerai-gerai pameran hasil pertanian,
penternakan, agrikultur, produk industri asas tani dan lain-lain yang
mempunyai kaitan dengan pertanian.
Antara gerai yang dijangka bakal mencuri tumpuan dalam program yang
berlangsung dari 29 November hingga 1 Disember itu termasuklah gerai
pameran haiwan peliharaan dan ternakan seperti burung unta, lembu,
kambing, ayam pelbagai baka, kucing, rakun, arnab dan lain-lain.
Sebelum itu, Exco Pertanian Selangor, Sallehen Mukhyi dalam ucapan
alu-aluannya berkata pihak beliau mensasarkan jumlah jualan sebanyak RM1
juta dalam Agrofest Selangor 2013 yang bertemakan ‘Pertanian Tonggak
Keusahawanan’ itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan