Selasa, 26 November 2013

Pinjaman wang : Petani perlu bayar dalam bentuk hasil

SHAH ALAM 26 NOV : Kerajaan negeri akan memberikan bantuan secara pinjaman wang kepada petani yang perlu dibayar semula dalam bentuk hasil, menjelang 2014.
Exco Pertanian, Sallehen Mukhyi, berkata langkah itu diambil bagi membentuk sahsiah diri petani yang berdisiplin, tekun dan serius dalam perusahaan pertanian yang diceburi.
pc agrofest dan pc belia perkahwinan - 3“Contohnya, pihak yang terima pinjaman perlu membayar jumlah hasil pada masa ia dikeluarkan sehingga mencapai tahap jumlah nilai yang dipinjam.
“Hal ini kerana, kita tidak mahu lagi dengar berita kurang baik seperti sebelum ini iaitu apabila bagi bantuan anak ayam, tetapi tidak sempat jejak ke tanah dan kita beri enjin bot, dijualnya pula,” katanya.
Beliau berkata demikian di Sidang Dewan Negeri Selangor bagi menjawab soalan berkenaan rancangan meningkatkan hasil pertanian di Selangor.
Sallehen (PAS-Sabak) berkata, kerajaan negeri juga kini dalam pertimbangan untuk mengusahakan tanah terbiar bagi memperoleh hasil seperti yang dicapai ptahun lalu iaitu RM 45,500.
“Namun terdapat masalah apabila tanah itu adalah milik individu. Kita harap pihak jabatan pertanian akan mengadakan perbincangan dengan individu terbabit supaya tanah terbiar itu dapat diusahakan secara maksimum melalui usahasama,” katanya.
Mengulas perusahaan tanah simpanan milik Telekom dan Keretapi Tanah Melayu (KTM), Sallehen menjelaskan setiap pengusaha yang berminat perlu melakukan perbincangan terus dengan syarikat bertanggungjawab.
Katanya, kerajaan negeri tidak akan memberikan kelulusan, peruntukan dan bantuan kepada pengusaha yang tidak mendapatkan kebenaran pihak syarikat terlebih dahulu.

Jumaat, 8 November 2013

Rezab negeri hanya untuk projek penting

SHAH ALAM 9 NOV : Rizab negeri yang dianggarkan berjumlah RM2.6 bilion hanya akan digunakan untuk melaksanakan projek penting dan kritikal serta tidak akan dibelanjakan sesuka hati.
Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, berkata rizab simpanan sedia ada mempunyai jumlah yang besar secara relatif, namun hanya akan digunakan jika berlaku kecemasan seperti pembinaan jambatan ketiga Klang untuk mengurangkan kesesakan di kawasan itu yang menelan kos kira-kira RM600 juta.
Beliau berkata, menjadi amalan biasa bagi kerajaan di seluruh dunia menyimpan rizab yang tinggi supaya dapat menampung perbelanjaan jika berlaku kegawatan ekonomi.
“Melihat kepada belanjawan negeri pada kadar RM1.6 bilion untuk tahun 2013, jelas menunjukkan rizab kita bukan besar sangat. Berkemungkinan belanjawan untuk tahun hadapan lebih tinggi memandangkan kos pentadbiran dan pembangunan perlu dipertingkatkan.
“Simpanan tidak bererti kita kena gunakan. Andai kata ekonomi Selangor teruk pada tahun depan, maka dengan adanya rizab ini kita boleh bertahan,” katanya.
Chang Kim berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sesetengah pihak yang mempersoalkan keengganan kerajaan negeri menggunakan rizab walaupun nilainya kini mencecah berbilion ringgit.
Isu itu timbul selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seharusnya mengimbangi perbelanjaan dengan simpanan kewangan kerajaan negeri dalam satu forum, di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Sebaliknya, Anwar menyukai cara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berjaya menguruskan belanjawan seimbang dan sebagai menjawab pandangan Anwar itu, Abdul Khalid berkata, usaha mengumpulkan dana adalah jauh lebih sukar berbanding membelanjakan dana sedia ada.
-