Rabu, 6 Februari 2013

Insentif Perkahwinan Belia Boleh Dipohon Minggu Depan

SHAH ALAM 6 FEB: Mulai minggu depan, golongan belia yang berkahwin paada Januari tahun ini dan berusia tidak lebih 35 tahun boleh memohon mendapatkan insentif perkahwinan yang diberikan Kerajaan Negeri. Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, borang permohonan boleh didapati di Pusat Khidmat DUN di seluruh negeri bagi mendapatkan insentif sebanyak RM200 itu.
Katanya, anak kelahiran Selangor layak menerima hadiah insentif itu yang berupa wang simpanan Tabung Haji bagi yang beragama Islam dan bagi bukan Islam akan diberikan sijil simpanan premium Bank Simpanan Nasional (BSN).“Kita akan mula mengedarkan borang insentif ini dan para belia boleh mendapatkannya di seluruh Pusat Khidmat Masyarakat di setiap DUN di negeri ini mulai minggu hadapan,” katanya ketika sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.
Sementara itu, Dr Yunus berkata, tiada syarat seperti penilaian gaji pasangan akan diambil kira selain belia yang memohon merupakan anak jati Selangor.Sebelum ini, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan pemberian insentif perkahwinan itu akan dibiayai melalui peruntukan dari Belanjawan 2013 baru-baru ini.Selain menerima insentif perkahwinan ini, belia yang terlibat juga bakal ditawarkan program perumahan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri.

Jumaat, 1 Februari 2013

Kerja2 Akhir Projek Sambungan jalan Sekincan-Ulu Bernam




Maskot Sekincan, Tarik Pelancong Tempatan dan Antarabangsa

SEKINCHAN 31 JAN : Kerajaan Selangor komited untuk menjadikan Sekichan sebagai pusat pelancongan berdaya maju yang mampu menggamit kunjungan pelancong tempatan dan antarabangsa.
Usaha itu digiatkan dengan peruntukan kira-kira RM 85,000 melalui peruntukan pembangunan pelancongan bagi membina beberapa ikon dan mercu tanda tarikan baru di sini.
Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna Dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, beliau berharap Sekinchan akan menjadi tarikan pelancong antarabangsa dari Singapura, Indonesia, China, Taiwan dan Korea.
“Ada pelbagai aktiviti agro pelancongan di Sekinchan ini dan ramai yang suka dengan suasana di sini dengan keindahan sawah padi, laut dan juga buah-buahan.
“Kita akan terus menyokong daerah Sabak Bernam yang sudah mempunyai nama dan berharap agar kawasan pelancongan di sini akan terus berkembang dari masa ke semasa,” kata Elizabeth ketika ditemui TVSelangor selepas pelancaran Maskot Sekinchan.
ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, pelancaran Maskot Sekinchan itu merupakan mercu tanda baru untuk kawasan itu.
“Kerajaaan Negeri memberikan sokongan daripada segi peruntukan dan pelbagai inisiatif diadakan untuk menarik lebih ramai pelancong datang ke Sekinchan.
“Salah satu ideanya ialah mencipta Maskot Sekinchan di mana ia adalah logo dan para pelancong boleh bergambar di kawasan ini,” kata Suee Lim.
Ujarnya, kemajuan sektor pelancongan di Sekinchan akan merancakkan sumber ekonomi di kawasan ini yang sebelum ini terkenal dengan aktiviti pertanian dan perikanan.
“Dengan pesatnya sektor pelancongan ini ianya sudah dirasai oleh ramai peniaga-peniaga di sini dengan impak yang mereka perolehi daripada sumber peningkatan pendapatan seperti tempat penginapan dan jualan makanan.
“Dan kini di Bagan Sekinchan banyak restoren yang berkonsepkan kampungan semakin banyak wujud dan ianya begitu memberangsangkan.
“Kita juga komited akan terus membangunkan sektor pelancongan di Sekinchan ini yang akan semakin rancak di masa hadapan,” kata Suee Lim.

Penduduk Kampung Sg Hj Dorani, diminta bersabar

SHAH ALAM 30 JAN : Penduduk Kampung Nelayan Sungai Haji Dorani di Sabak Bernam diharap bersabar bagi mendapatkan geran tanah yang akan diberikan kepada mereka.
Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sungai Panjang, Fadzlin Taslimin berkata, permohonan untuk mengeluarkan geran tanah itu kini sedang diproses oleh pihak Pejabat Tanah Daerah Sabak Bernam.
Justeru penduduk yang sudah membayar premium permohonan tanah itu tidak perlu bimbang berhubung status hak milik tanah di kawasan berkenaan.
“Sebab ia lambat mungkin yang membayar premium tanah itu tidak serentak jadi mereka (Pejabat Tanah) perlu kumpul dahulu proses permohonan itu.
“Jika penduduk sudah membayar premium untuk permohonan itu maka tiada masalah,” kata Fadzlin ketika dihubungi TVSelangor.
Ujar Fadzlin, beliau mengharapkan kerjasama pihak Pejabat Tanah Daerah Sabak Bernam agar dapat menyegerakan kelulusan pemberian geran tanah itu agar pihak penduduk tidak menunggu dalam jangka masa yang lama.
“Ia lambat mungkin permohonan ini adalah secara kelompok yang berbeza dengan permohonan secara persendirian,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan penduduk di Kampung Nelayan Sungai Haji Dorani meluahkan kebimbangan terhadap status hak milik tanah di kawasan berkenaan yang masih menjadi tanda tanya.
Pada Februari 2012 lepas, seramai 116 penduduk kampung di daerah Sabak Bernam diberikan notis 5A, iaitu notis yang mengakui mereka pemilik tanah yang sah oleh Kerajaan Negeri Selangor selepas mereka menanti selama kira-kira 30 tahun.