SEKINCHAN 31 JAN : Kerajaan Selangor komited untuk menjadikan
Sekichan sebagai pusat pelancongan berdaya maju yang mampu menggamit
kunjungan pelancong tempatan dan antarabangsa.
Usaha itu digiatkan dengan peruntukan kira-kira RM 85,000 melalui
peruntukan pembangunan pelancongan bagi membina beberapa ikon dan mercu
tanda tarikan baru di sini.
Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna Dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong
berkata, beliau berharap Sekinchan akan menjadi tarikan pelancong
antarabangsa dari Singapura, Indonesia, China, Taiwan dan Korea.
“Ada pelbagai aktiviti agro pelancongan di Sekinchan ini dan ramai
yang suka dengan suasana di sini dengan keindahan sawah padi, laut dan
juga buah-buahan.
“Kita akan terus menyokong daerah Sabak Bernam yang sudah mempunyai
nama dan berharap agar kawasan pelancongan di sini akan terus berkembang
dari masa ke semasa,” kata Elizabeth ketika ditemui TVSelangor selepas
pelancaran Maskot Sekinchan.
ADUN Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, pelancaran Maskot Sekinchan itu merupakan mercu tanda baru untuk kawasan itu.
“Kerajaaan Negeri memberikan sokongan daripada segi peruntukan dan
pelbagai inisiatif diadakan untuk menarik lebih ramai pelancong datang
ke Sekinchan.
“Salah satu ideanya ialah mencipta Maskot Sekinchan di mana ia adalah
logo dan para pelancong boleh bergambar di kawasan ini,” kata Suee Lim.
Ujarnya, kemajuan sektor pelancongan di Sekinchan akan merancakkan
sumber ekonomi di kawasan ini yang sebelum ini terkenal dengan aktiviti
pertanian dan perikanan.
“Dengan pesatnya sektor pelancongan ini ianya sudah dirasai oleh
ramai peniaga-peniaga di sini dengan impak yang mereka perolehi daripada
sumber peningkatan pendapatan seperti tempat penginapan dan jualan
makanan.
“Dan kini di Bagan Sekinchan banyak restoren yang berkonsepkan kampungan semakin banyak wujud dan ianya begitu memberangsangkan.
“Kita juga komited akan terus membangunkan sektor pelancongan di
Sekinchan ini yang akan semakin rancak di masa hadapan,” kata Suee Lim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan