Selasa, 1 Disember 2009

Sambutan Hari Q 2009

SHAH ALAM 1 DIS: Sebagai tanda terima kasih, kerajaan negeri Selangor hari ini meraikan dan mengiktiraf kecemerlangan penjawat awamnya di semua peringkat pentadbiran dan pengurusan sektor awam negeri.

Majlis Sambutan Hari Kualiti 2009 Pentadbiran Kerajaan Selangor yang diadakan setiap tahun ini telah disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Khalid berkata penganjuran majlis tersebut merupakan sebahagian dari usaha kerajaan negeri mengiktiraf komitmen, dedikasi serta iltizam penjawat awam serta pihak pengurusan jabatan atau agensi yang berkaitan dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan awam di negeri ini.

Katanya, usaha-usaha yang berteraskan kecemerlangan perkhidmatan boleh meletakkan penjawat awam di negeri ini di mercu penghormtan selain menjadi kebanggaan rakyat.

“Saya rasa hari Kualiti ini ataupun hari pengguna ini adalah penting dari segi mengenalpasti kejayaan dan juga perkara-perkara yang perlu boleh diperbaiki demi meningkatkan prestasi dan produktiviti.

“Disamping itu ia juga memberi peluang untuk mengenalpasti pekerja-pekerja yang cemerlang supaya mereka dapat dihargai,” katanya.

Khalid berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media Dewan Jubli Perak, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri,di sini pagi tadi.

Penyampaian anugerah hari ini termasuklah Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2008, Anugerah Jasamu Dikenang (ADJ) Tahun 2009, Pentauliahan Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam( AKRAB) dan Anugerah Prestasi Kutipan Hasil Cukai Tanah Tahun 2008.

Seramai 105 penjawat awam menerima anugerah masing-masing manakala ganjaran sebanyak 100 ribu ringgit telah di berikan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Sepang, Gombak, Kuala Selangor, Klang dan Sabak Bernam kerana berjaya mencapai sasaran hasil kutipan cukai yang ditetapkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan