Selasa, 1 Disember 2009

Unjuran 6-7% Tahun Hadapan

PETALING JAYA, 30 Nov - Selangor, negeri paling maju di negara ini, dijangka mencapai pertumbuhan ekonomi antara 6.0 dan 7.0 peratus pada tahun depan, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini.
“Kita melihat trend pertumbuhan Selangor sebanyak 2.0 peratus di atas pertumbuhan nasional. sebagai contoh, jika pertumbuhan negara ini dicatatkan 4.0 peratus, Selangor sepatutnya mencatatkan pertumbuhan antara 5.0 dan 6.0 peratus,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pembangunan Semula Bandar Antarabangsa di sini hari ini.

Pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 5.0 peratus telah diunjurkan bagi Malaysia pada 2010 jika dilihat daripada prestasi ekonomi global yang menggalakkan dan permintaan domestik yang meningkat semula.

Khalid berkata adalah penting bagi Selangor untuk berkembang lebih laju daripada negeri lain bagi memastikan sumbangan sihat kepada pertumbuhan negara ini.

Katanya Selangor akan terus menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negeri itu.

“Agihan Selangor kepada agihan KDNK negara ialah kira-kira 21 peratus pada 2007, dengan agihan yang besar dicatatkan di dalam sektor pengeluaran, pengangkutan dan storan dan komunikasi,” katanya.

Khalid berkata Selangor mencatatkan kemerosotan yang ketara di dalam pelaburan langsung asing antara akhir 2008 dan Jun 2009 disebabkan kemelesetan ekonomi global.

“Bagaimana pun, kini berlaku kenaikan ketara pada segi perangkaan terbaharu sehingga September. Jika kita dapat mencatatkan FDI antara RM4 bilion dan RM5 bilion pada tahun ini, maka ia akan merupakan rekod yang boleh dipuji,” katanya.

Tahun lepas, Selangor menarik FDI lebih RM10 bilion ke negeri itu

Tiada ulasan:

Catat Ulasan