Isnin, 16 Ogos 2010

MB Rai Pengerusi JKKK dalam Majlis Berbuka Puasa

SHAH ALAM, 12 Ogos – Seramai 380 ketua-ketua kampung termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) semalam diraikan dalam satu majlis berbuka puasa bersama Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim serta Ahli Dewan Negeri Selangor di kediaman rasminya di sini malam semalam.

Abdul Khalid berkata majlis yang diadakan ini bertujuan merapatkan silaturrahim serta menambah baik kerjasama dan persefahaman antara pemimpin kerajaan negeri dengan pegawai-pegawai JKKK sekaligus dapat memperbaiki sistem penyampaian kepada rakyat Selangor.

Selain umat Islam, Abdul Khalid turut mengundang beberapa Ahli Dewan Negeri dan Ahli Parlimen bukan beragama Islam untuk bersama-sama meraikan bulan Ramadan.

Beliau di dalam ucapan alu-aluannya menyebut amat berbesar hati di atas kehadiran begitu ramai pemimpin-pemimpin negeri Selangor, ramai ketua-ketua kampung dari seluruh negeri Selangor dan berharap usaha tersebut dapat dipanjangkan ke daerah-daerah untuk dapat meningkatkan silaturrahim antara muslimin dan muslimat

Selain berbuka puasa bersama Menteri Besar, tetamu yang hadir turut bersama-sama menunaikan solat Maghrib dan Isyak serta disudahi dengan solat Tarawih secara berjemaah.

Dalam pada itu Pegawai Penyelaras Menteri Besar Selangor, Abdul Rahman Talib memuji usaha yang dilakukan dan ia perlu diteruskan di setiap daerah bagi memberi kefahaman tentang beberapa program kebajikan yang dilaksanakan kerajaan negeri untuk manfaat rakyat Selangor.
“Meskipun Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sibuk dengan urusan pentadbiran kerajaan negeri namun beliau masih sempat meluangkan masa berbuka puasa bersama Ahli Dewan Negeri (ADUN) Selangor serta 380 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di kediaman rasminya di Shah Alam hari ini,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan