Isnin, 16 Ogos 2010

Kuiz Zakat di Udara

SHAH ALAM, 9 Ogos – Kesedaran menunaikan ibadat zakat oleh umat Islam di negara kita masih rendah kerana mereka beranggapan dengan menunaikan zakat fitrah di bulan Ramadan sudah memadai.
Zakat tidak terhad kepada fitrah semata-mata malah ia merangkumi zakat harta terbahagi kepada 8 jenis iaitu zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat binatang ternakan, zakat pertanian, zakat wang simpanan, zakat emas dan perak, zakat saham serta zakat Ma’adin, Kunuz dan Rikaz.
Atas kesedaran itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama stesyen radio tempatan IKIM.fm menganjurkan “Kuiz Zakat Di Udara” selama empat bulan bermula pada Oktober 2009 dan berakhir pada Januari 2010.
Kuiz ini diadakan bertujuan mempromosikan zakat kepada pendengar untuk menyebarluas dakwah zakat kepada masyarakat.
Di samping itu penganjurannya bertujuan bagi meningkatkan kesetiaan pelanggan, menggalakkan masyarakat menunaikan zakat seterusnya mendidik mereka secara tidak langsung tentang hal ehwal zakat.
Pemenang dipilih berdasarkan jawapan yang dikumpul oleh pendengar melalui Kuiz Terkumpul dalam tempoh empat bulan ia dipertandingkan. Pemenang terpilih menerima hadiah tiket penerbangan ke destinasi menarik.
Siang tadi Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyampaikan hadiah kepada pemenang utama dan pemenang tempat pertama hingga ketiga “Kuiz Zakat Di Udara” bertempat di Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Bangunan Sultan Idris Shah dekat sini.
Setelah cabutan dijalankan, pemenang utama kuiz ini dimenangi oleh Zainal Mohamad Nasir; tempat pertama-Siti Zaleha Syed Sa’ari; tempat kedua- Fadzillah Md Tahir dan tempat ketiga Badrul Nazri Mohamad @Din. Masing-masing menerima dua tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur-Jakarta; Kuala Lumpur-Ho Chi Minh City; Kuala Lumpur-Bangkok dan Kuala Lumpur-Phnom Penh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan