Rabu, 29 Disember 2010

Isu padi

SHAH ALAM, 20 Dis - Exco Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari, mendakwa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar lari daripada menjawab persoalan sebenar yang membelenggu para pesawah di kawasan Tanjong Karang.

Dihubungi TVSelangor, Yaakob menjelaskan isu yang disuarakan pesawah dalam akhbar Selangorkini sebelum ini ialah berkaitan benih padi yang kurang berkualiti sehingga mereka terpaksa menanggung kerugian kerana hasil tanaman rosak akibat padi angin.

Pembekalan benih padi yang dahulunya dikendalikan Jabatan Pertanian diserah kepada syarikat swasta yang dimiliki oleh Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Tanjong Karang yang tidak mampu membekalkan benih padi berkualiti kepada petani.

Yaakob berkata demikian bagi mengulas reaksi Noh Omar mengenai isu tersebut di akhbar Sinar Harian hari ini, seolah-olah cuba mengalih tumpuan pembaca dengan mencabar kerajaan negeri membeli hasil padi petani.

Sebaliknya, para petani merungut hasil padi kurang akibat benih padi yang diterima kurang berkualiti, malah turut mempersoalkan tindakan Kementerian Pertanian menswastakan Skim Penanaman Benih Padi atau SPBP.

“Noh tidak menjawab isu sebenar, isu yang dibangkitkan oleh petani ialah berkaitan isu benih padi yang diswastakan oleh kementerian kepada sebuah syarikat, maknanya ia telah memonopoli pembekalan benih padi di kawasan Tanjung Karang dan Sabak Bernam,” katanya.

Terdahulu menyaksikan lebih 50 pesawah berhimpun di kawasan sawah di Sekinchan, meminta Kementerian Pertanian menaikkan semula harga padi ke paras yang lebih munasabah supaya mereka dapat menikmati sedikit keuntungan setelah penat membanting tulang empat kerat.

“Petani mengadu benih padi tidak berkualiti dan itu isunya, jadi sebagai Menteri Pertanian, Noh kena jawab isu itu,” tegasnya.

Selain itu, para petani juga meragui ketulinan benih padi yang dibekalkan kepada mereka.

“Petani meragui ketulinan benih padi yang dibekalkan oleh pihak tersebut, menyebabkan petani kerugian tahun lalu dan sekali lagi Noh tidak menjawab isu tersebut, katanya.

Yaacob yang juga Adun Kota Anggerik menjelaskan, isu tersebut sudah pun dibangkitkan dalam Dewan Negeri Selangor (DNS) dan sepatutnya kementerian lebih perihatin.

“Isu yang dibangkitkan dalam dewan ialah isu penswataan benih padi kepada sebuah syarikat yang ada hubungan rapat dengan menteri.

“Isu harga padi rendah ialah kerana benih padi yang dibekalkan oleh syarikat kroni Noh ini tidak berkualiti dan ia menyebabkan padi angin yang banyak,” jelasnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dalam sidang media di Lobi Parlimen menggesa agar satu siasatan dibuat tentang pemberian tender yang tidak telus kepada beberapa syarikat yang didapati tidak berkelayakan selain tiada loji benih, turut menyewa loji benih di bawah kementerian tersebut.

Menerusi penjelasan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam akhbar Selangorkini keluaran Disember, kemelut penswastaan SPBP yang membelenggu nasib dan rezeki petani, ekoran daripada penswastaan SPBP.

Kerajaan negeri berpendapat, pemberian kuasa menerusi penswataan SPBP kepada sebuah syarikat, sepatutnya tidak berlaku dan sebaliknya kementerian tersebut harus menyelesaikan kemelut petani dengan membuka peluang kepada lebih banyak syarikat untuk mengendalikannya agar mutu benih padi lebih terjamin dan berkualiti.

Idea tersebut juga adalah jalan terbaik kerana ia akan mewujudkan budaya persaingan sihat, sekali gus ia menghapuskan budaya kronisme.

1 ulasan:

  1. pemimpin memegang amanah kpd yg dipimpin BUKAN jadi pengkhianat!!! Allah laknat atas pemimpin derhaka kpd amanah!!!

    BalasPadam