Sabtu, 12 Februari 2011

Bekalan elektrik kerap terganggu

SEKINCHAN, 11 Feb – Kekerapan terputusnya bekalan elektrik di kawasan Sekinchan, sekitar empat kali dalam tempoh satu minggu, menyebabkan banyak pihak terpaksa menanggung kerugian kerana ia menyebabkan kerosakan barang elektrik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata, pihaknya menerima banyak aduan dan keluh-kesah masyarakat setempat berhubung gangguan bekalan elektrik itu.



“Kita didatangi dan dihujani dengan panggilan telefon tidak berhenti-henti daripada penduduk yang mengadu berhubung masalah ini.

“Mereka turut mempertikaikan keupayaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana kekerapan bekalan elektrik terganggu,” katanya ketika melawat gerbang baru Kampung Nelayan Bagan Sekinchan, di sini, semalam.

Menurutnya, TNB sepatutnya memberikan perkhidmatan yang selesa kerana pengguna membayar caj elektrik yang dikenakan setiap bulan.

“Mereka (TNB) perlu memastikan bekalan elektrik tidak terputus begitu kerap dan pelan perancangan masa panjang dan pendek perlu dilakukan dengan segera untuk menaik taraf bekalan elektrik di Sekinchan,” katanya dipetik dari Sinar Harian.

Suee Lim berkata, jalan masuk ke Kampung Nelayan Bagan Sekinchan diberikan nafas baru dengan menaik taraf pintu gerbang sedia ada sehari sebelum sambutan Tahun Baru Cina.

“Kita menaiktarafkan pintu gerbang ini supaya ianya lebih indah, sempurna dan dapat mencerminkan identiti kampung ini.

“Selain itu dapat membantu pengunjung dan pelancong untuk mengenal pasti lokasi Bagan Sekinchan daripada tersesat,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan