Sabtu, 12 Februari 2011

Kerajaan Selangor Terus Cemerlang

LANG, 11 Feb - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan, Pakatan Rakyat (Pakatan) bersedia untuk mempertahankan pentadbiran kerajaan negeri berdasarkan prestasi cemerlang yang diperoleh sejak berjaya menawan Selangor pada Mac 2008.

Tan Sri Khalid berkata, Pakatan yang diwakili parti DAP, PAS dan PKR akan bekerja keras dan berjuang dalam menegakkan keadilan rakyat di negeri ini.

“Kita mahu memberikan pulangan hasil-hasil negeri untuk rakyat. sudah tentulah tahun baru ini juga memberikan azam baru bagi kita supaya kita bersama bekerja sebagai satu pasukan, pasukan DAP, PAS dan PKR akan berkerja sebagai satu pasukan yang bertujuan untuk membela rakyat di selangor dan Malaysia,” katanya.

Menurut Khalid, dengan pelaksanaan aktiviti-aktiviti serta program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) pentadbiran Pakatan mampu mempertahankan benteng di negeri Selangor.

“Tahun Baru Cina ini memberi kita inspirasi untuk bekerja keras kerana kami percaya bahawa masyarakat akan memberikan sokongan jika kita melakukan tugas kita secara cekap, adil dan bersih,” ulasnya.

Khalid berkata demikian di hadapan kira-kira dua ribu rakyat yang hadir pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina, semalam, di Jalan Besar, Pandamaran, Klang.

Jelas Khalid, kerajaan negeri memperuntukkan RM 1 juta kepada setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi pembangunan infrastruktur di seluruh kawasan negeri Selangor sebelum ini, sebagai salah satu usaha menaiktaraf kediaman masyarakat setempat.

“Tahun ini kita memperuntukkan 1 juta ringgit kepada setiap DUN yang boleh digunakan oleh Adun Pakatan untuk membuat pembangunan infrastruktur, iaitu membetulkan jalan dan parit di kawasan mereka.

“Kita juga memberi peluang untuk wakil-wakil DUN membuat program mengecat rumah pangsa yang mana ini akan dimulakan awal bulan Mac. Peruntukan lebih 5 juta telah kita peruntukkan,” katanya.

Sementara itu, khalid berkata, pihaknya juga sudah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Tun Hussien untuk menambah bilangan polis di negeri ini bagi menjaga keselamatan serta keamanan di Selangor.

Selain menyampaikan pemberian ‘ang pau’ kepada masyarakat Cina yang hadir, majlis itu juga turut diceriakan dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk tarian singa dan naga.

Hadir sama memeriahkan majlis ialah Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dan beberapa Exco kerajaan negeri Selangor.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan