Isnin, 27 Jun 2011

Rakyat Kini Nikmati Hasil negeri Selangor

SUNGAI LABU 24 Jun- Sistem pemerintahan Kerajaan Negeri di bawah parti Pakatan Rakyat (PR) membolehkan rakyat Selangor menikmati hasil negeri melalui pelbagai program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang dilancarkan sejak lebih tiga tahun lepas..


Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Panjang, Mohd Fadzin Taslimin, berkata, walaupun jumlah yang diterima tidak sebanyak mana, namun penyampaiannya secara menyeluruh.

“Contohnya, program 20 meter padu air percuma dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE), mungkin ada yang kata pemberian air percuma hanya sedikit dan sebanyak RM2,500 bagi penerima SMUE itu tidak sebanyak mana.

“Namun, dalam DUN ini sahaja, sejak SMUE diwujudkan, lebih kurang 600 penerima layak menerima sumbangan dengan jumlah keseluruhan kira-kira RM1.5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Beras dan Dapur, di Sungai Labu, di sini, semalam.


Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim dan Pengerusi Permuafakatan Ketua-ketua Kampung (Peka) Daerah Sabak Bernam, Mohd Dawam Abdullah.

Fadzin yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Sungai Besar, berkata, Selangor dianggap negeri kaya, namun masih ada rakyatnya yang hidup susah.

“Sara hidup terlalu tinggi, kalau kita bawa RM50 ke kedai tidak banyak yang boleh dibeli. Kerajaan Negeri sedar masalah ini dan atas sebab itulah pelbagai program diwujudkan untuk meringankan bebanan rakyat.

Menurut Fadzin, keprihatinan Kerajaan Negeri sejak tiga tahun pemerintahan dengan pelbagai program baru membolehkan rakyat menerima pelbagai manfaat.

Sementara itu katanya, melalui pemerhatian dalam siri turun padang, terdapat segelintir masyarakat beragama Islam kurang penghayatan terhadap agama sekali gus menyebabkan peningkatan gejala sosial.

“Kita dapat lihat ada yang tidak begitu kuat memegang agama dan kebanyakan mereka hidup susah. Anak-anak terlibat dengan gejala sosial disebabkan ibu bapa yang kurang perhatian pada agama,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan