KUALA LUMPUR, 29 April: Satu permainan komputer yang digilai remaja negara ini dikhuatiri boleh menjejaskan akidah pemainnya kerana ia mengandungi elemen menghina Islam apabila memaparkan kalimah Allah dan Kaabah.
Pemain permainan itu (Devil May Cry 3) didakyah kononnya mereka berjihad untuk menentang syaitan kerana dikehendaki menewaskan makhluk itu untuk menembusi 12 pintu sebelum ‘penghulu syaitan’ menanti mereka di pintu terakhir iaitu pintu kaabah.
Elemen penghinaan ke atas Islam jelas tertera apabila kalimah Allah dipaparkan di setiap pintu yang dikawal syaitan termasuklah di pintu kaabah.
Sehubungan itu, Naib Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Rohayu Rusli menggesa tindakan tegas harus diambil dengan serius oleh pihak kerajaan dan pihak berwajib.
Katanya, difahamkan permintaan tinggi terhadap permainan itu menyebabkan pihak pengeluar kini sudah mengeluarkan empat edisi bagi permainan berkenaan sejak mula memasarkannya pertengahan tahun lalu.
“Jadi, saya mewakili mahasiswa mahasiswi Islam UM menggesa pihak berwajib meneliti dengan lebih terperinci ‘keadaan’ permainan ini sebelum dipasarkan kepada pelanggan terutamanya remaja.
“Permainan komputer itu satu penghinaan melampau kepada umat Islam kerana kaabah adalah kiblat dan tempat suci, begitu juga dengan kalimah Allah yang tidak boleh dijadikan bahan permainan sesuka hati,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau menyifatkan permainan seperti itu boleh menggugat keimanan dan akidah seseorang terutama apabila ‘mempermainkan’ agama Islam.
Tambahnya, tindakan dan sebaran harus dibuat secepat mungkin bagi menyedarkan semua sebelum terlambat.
“Saya rasa isu ini sudah lama keluar, mungkin ramai lagi yang tidak tahu tentang permainan ini,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan