Khamis, 6 Oktober 2011

MPK Berusaha Jadikan Klang Status Bandaraya

KLANG 7 Oktober - Majlis Perbandaran Klang kini sedang berusaha untuk merealisasikan sasaran menjadikan daerah Klang sebagai sebuah bandar raya menjelang 2015.

Pemangku Yang Dipertuanya, Mohd Ikhsan Mukri berkata, MPK akan melengkapkan usaha ke arah itu dengan meningkatkan usaha dalam mengawal masalah sampah, mengekalkan kebersihan serta mencantikkan persekitaran kawasan daerah itu.

“Bagaimanapun kita sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) mengharapkan sokongan dan kerjasama semua pihak dalam menggerakkan pelbagai aktiviti dan pelaksanaan.


“Orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan jabatan kerajaan lain perlu bersama MPK menyumbang tenaga dalam merealisasikan hasrat menukar bandar ini menjadi sebuah bandar raya,” katanya pada Majlis Anugerah MPK Prihatin 2011, di sini.

Hadir merasmikan program berkenaan, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Turut hadir, Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Mohd Ikhsan berkata, sehingga kini, MPK sudah melaksanakan gerak kerja dengan menanam hampir 1,000 pokok Janda Merana di sepanjang pantai kawasan tadbir MPK.

Usaha itu menurutnya, turut diperkuat dengan penyelenggaraan landskap di sepanjang Sungai Klang dalam masa terdekat.

Dalam majlis itu, 63 penerima terdiri daripada individu, pengamal media, NGO, persatuan dan syarikat perniagaan yang banyak menyokong dasar dan program MPK menerima penghargaan masing-masing.

Mohd Ikhsan berkata, peranan media sebagai ejen penyalur maklumat mengenai usaha, program dan aktiviti terkini PBT merupakan satu kerjasama yang positif.

Menurutnya, selain daripada penyaluran maklumat, media juga berperanan sebagai tempat masyarakat meluahkan masalah setempat untuk diselesaikan pihak berkaitan.

“Kita akui, melalui media juga kita dapat mengetahui isu setempat yang dibangkitkan penduduk untuk diselesaikan, langkah ini membolehkan usaha mewujudkan kawasan sejahtera menjadi mudah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan