Khamis, 6 Oktober 2011

Selangor kekal destinasi Pelabur

SHAH ALAM, 6 Okt: Jumlah projek perindustrian Selangor yang tertinggi di Malaysia menunjukkan bahawa ekonomi negeri masih lagi mantap dan merupakan destinasi pelaburan yang popular di Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan negeri, Teresa Kok Suh Sim (gambar) berkata, statistik terkini MIDA (Malaysia Industrial Development Authority) mengenai pelaburan perindustrian di Malaysia bagi tempoh Januari hingga Julai 2011 mengikut negeri menunjukkan bahawa negeri Selangor telah mencapai jumlah projek yang diluluskan yang paling tinggi di Malaysia iaitu sebanyak 158 projek.

Katanya, 158 projek perindustrian yang diluluskan di Selangor ini merupakan 31% daripada jumlah projek bagi seluruh Malaysia.

“Daripada 158 ini, 102 merupakan projek baru manakala baki 56 merupakan projek yang diperkembangkan, diikuti oleh Johor di tempat kedua dengan 110 projek dan Pulau Pinang di tempat ketiga dengan 56 projek,” ujarnya yang juga Adun Kinrara dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Di samping itu, ujatrnya Selangor telah berjaya mencapai jumlah pelaburan asing yang kedua tertinggi di Malaysia berbanding negeri-negeri lain iaitu sebanyak RM3.4 billion.

Menurutnya, Selangor didahului oleh Pulau Pinang yang mencapai sebanyak RM3.6 billion dan diikuti oleh Johor yang mencapai sebanyak RM2.9 billion.

Tambahan pula, katanya Selangor telah mencapai jumlah peluang pekerjaan yang dihasilkan yang kedua tertinggi di Malaysia dengan 11,006 pekerjaan.

Jelasnya lagi, RM3.4 billion atau 61% daripada pelaburan di Selangor terdiri daripada pelaburan asing manakala RM 2.2 billion atau 39% terdiri daripada pelaburan tempatan.

Ini, tambahnya menunjukkan Selangor masih disambut baik oleh pelabur asing mahu pun pelabur tempatan.

Di kalangan pelaburan asing di Selangor, katanya Jepun menanam pelaburan yang paling banyak dengan nilai pelaburan sebanyak RM1.2 billion, diikuti oleh Korea dengan RM652 juta, dan Singapura dengan RM510 juta.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan