Ahad, 24 Mac 2013

37 ribu rakyat Selangor terima bantuan Khairat Kematian

KUALA LUMPUR: Sejak mengambil alih pentadbiran negeri Selangor pada 2008, pelbagai insentif diperkenalkan Pakatan Rakyat bagi membantu rakyat di negeri itu termasuk memperkenal bantuan Khairat Kematian di bawah Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Menurut Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, sejak skim itu diperkenalkan, seramai kira-kira 37,000 rakyat Selangor telah mendapat bantuan dan manfaat darinya.Untuk Jumlah itu katanya, kerajaan negeri telah membelanjakan sebanyak lebih RM80 juta.

“Setiap tahun kita peruntukan sebanyak RM26 juta bagi pemberian ini,” katnya yang dipetik Selangorku.Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Bantuan Khairat Kematian kepada 22 waris di Balai JKKK Bestari Jaya di sini semalam.

Menurut beliau lagi, biarpun berdepan pelbagai serangan dan tohmahan dari parti lawan yang cuba mengganggu perjalanan pertadbiran Pakatan Rakyat di negeri itu, namun rakyat boleh menilai sendiri keupayaan kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan mereka.

Malah katanya, pengurusan kewangan yang baik dan telus, telah memberikan peluang kepada rakyat untuk menikmati pelbagai insentif yang diperkenal kerajaan negeri.“Walaupun kita keluarkan belanja tetapi ia tidak memberi kesan malah simpanan Kerajaan Negeri bertambah empat kali ganda.

“Ini membuktikan bahawa pemberian yang dilakukan dengan tidak menjejaskan kewangan negeri kalau kita menjaga dengan baik," katanya.Bantuan khairat kematian diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak 2008 dengan bantuan jumlah RM2,500 kepada pewaris si mati di mana bantuan RM1,000 didahulukan manakala selebihnya disampaikan kemudian.

Skim ini adalah terbuka kepada semua kaum dan agama dan bukan tertakluk kepada agama Islam sahaja.Seorang penerima, Rasli Rusmin, 52, dari Bukit Badong berkata, pemberian itu adalah bagus dan ia wajar diteruskan Kerajaan Negeri untuk tahun-tahun akan datang.

“Ia meringankan beban keluarga yang kehilangan ahli keluarga,” katanya yang kematian bapa, Rusmin Sidek, 75, pada akhir tahun lalu.V Parameswar, 48, dari Kundang yang kehilangan bapa, S Raju, 86, turut menyatakan Kerajaan Negeri membuktikan keprihatinan terhadap masalah rakyat terutama golongan kurang berkemampuan.

“Saya berterima kasih dengan bantuan ini dan ia memang satu tindakan wajar bagi membela nasib rakyat,” katanya.Seorang lagi, Leong Wang Ping, 44, berkata, beliau begitu terharu dengan pemberian bantuan tersebut yang telah sedikit sebanyak meringankan beban mereka.

“Saya juga rasa seronok kerana sebelum ini tiada bantuan semacam ini. Kalau boleh selepas ini banyak lagi bantuan dirancang untuk kebaikan semua,” katanya yang kematian bapa, Leong Kong You, 68, pada tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan