SHAH ALAM 26 NOV : Kerajaan negeri akan memberikan bantuan secara
pinjaman wang kepada petani yang perlu dibayar semula dalam bentuk
hasil, menjelang 2014.
Exco Pertanian, Sallehen Mukhyi, berkata langkah itu diambil bagi
membentuk sahsiah diri petani yang berdisiplin, tekun dan serius dalam
perusahaan pertanian yang diceburi.
“Contohnya,
pihak yang terima pinjaman perlu membayar jumlah hasil pada masa ia
dikeluarkan sehingga mencapai tahap jumlah nilai yang dipinjam.
“Hal ini kerana, kita tidak mahu lagi dengar berita kurang baik
seperti sebelum ini iaitu apabila bagi bantuan anak ayam, tetapi tidak
sempat jejak ke tanah dan kita beri enjin bot, dijualnya pula,” katanya.
Beliau berkata demikian di Sidang Dewan Negeri Selangor bagi menjawab
soalan berkenaan rancangan meningkatkan hasil pertanian di Selangor.
Sallehen (PAS-Sabak) berkata, kerajaan negeri juga kini dalam
pertimbangan untuk mengusahakan tanah terbiar bagi memperoleh hasil
seperti yang dicapai ptahun lalu iaitu RM 45,500.
“Namun terdapat masalah apabila tanah itu adalah milik individu. Kita
harap pihak jabatan pertanian akan mengadakan perbincangan dengan
individu terbabit supaya tanah terbiar itu dapat diusahakan secara
maksimum melalui usahasama,” katanya.
Mengulas perusahaan tanah simpanan milik Telekom dan Keretapi Tanah
Melayu (KTM), Sallehen menjelaskan setiap pengusaha yang berminat perlu
melakukan perbincangan terus dengan syarikat bertanggungjawab.
Katanya, kerajaan negeri tidak akan memberikan kelulusan, peruntukan
dan bantuan kepada pengusaha yang tidak mendapatkan kebenaran pihak
syarikat terlebih dahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan