Jumaat, 8 November 2013

Rezab negeri hanya untuk projek penting

SHAH ALAM 9 NOV : Rizab negeri yang dianggarkan berjumlah RM2.6 bilion hanya akan digunakan untuk melaksanakan projek penting dan kritikal serta tidak akan dibelanjakan sesuka hati.
Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, berkata rizab simpanan sedia ada mempunyai jumlah yang besar secara relatif, namun hanya akan digunakan jika berlaku kecemasan seperti pembinaan jambatan ketiga Klang untuk mengurangkan kesesakan di kawasan itu yang menelan kos kira-kira RM600 juta.
Beliau berkata, menjadi amalan biasa bagi kerajaan di seluruh dunia menyimpan rizab yang tinggi supaya dapat menampung perbelanjaan jika berlaku kegawatan ekonomi.
“Melihat kepada belanjawan negeri pada kadar RM1.6 bilion untuk tahun 2013, jelas menunjukkan rizab kita bukan besar sangat. Berkemungkinan belanjawan untuk tahun hadapan lebih tinggi memandangkan kos pentadbiran dan pembangunan perlu dipertingkatkan.
“Simpanan tidak bererti kita kena gunakan. Andai kata ekonomi Selangor teruk pada tahun depan, maka dengan adanya rizab ini kita boleh bertahan,” katanya.
Chang Kim berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan sesetengah pihak yang mempersoalkan keengganan kerajaan negeri menggunakan rizab walaupun nilainya kini mencecah berbilion ringgit.
Isu itu timbul selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim seharusnya mengimbangi perbelanjaan dengan simpanan kewangan kerajaan negeri dalam satu forum, di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Sebaliknya, Anwar menyukai cara Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang berjaya menguruskan belanjawan seimbang dan sebagai menjawab pandangan Anwar itu, Abdul Khalid berkata, usaha mengumpulkan dana adalah jauh lebih sukar berbanding membelanjakan dana sedia ada.
-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan