SHAH ALAM 6 Jan – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Khusrin Munawi untuk melaksanakan dasar-dasar kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengikut tata cara yang ditetapkan.
“Beta menitahkan supaya Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Negeri melaksanakan dasar-dasar kerajaan yang memerintah Selangor mengikut undang-undang dan peraturan semasa,” titah baginda pada majlis di Istana Bukit Kayangan pagi tadi.
Sultan Sharafuddin juga tidak mahu isu perlantikan Khusrin diperbesar atau dipolitikkan sehingga menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat.
“Beta ingin menegaskan, perlantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor ini adalah mengikut peraturan dan prosedur yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor dan Perlembagaan Persekutuan,” tambah Sultan Sharafuddin.
Pada majlis itu, Tuanku mengurniakan darjah kebesaran kepada Raja Muda Selangor selain memperkenan menerima lafaz ikrar sumpah setia Khusrin dan beberapa pihak lain.
Dalam ucapannya, Sultan Sharafuddin sekali lagi menegaskan baginda tidak menyebelahi mana-mana parti politik tetapi hanya mahu Selangor sentiasa aman dan rakyatnya hidup dalam keadaan harmoni dan tolong-menolong.
Baginda menjelaskan, gandingan bersama istana dan kerajaan negeri diperlukan bagi melakukan yang terbaik bagi Selangor.
“Datuk Menteri Besar sentiasa menghadap Beta sekurang-kurangnya seminggu sekali. Semasa sesi menghadap ini, Beta dan Datuk Menteri Besar sentiasa bertukar-tukar fikiran dan saling menasihati serta berbincang untuk mendapatkan sesuatu yang baik dan elok untuk negeri Selangor, titah Sultan Sharafuddin .
“Jika negeri Selangor ini aman dan tiap-tiap pihak menjalankan tugas dengan jujur, telus dan penuh komitmen, maka pembangunan dan kemajuan yang dicapai akan benar-benar dapat dikecapi oleh rakyatnya,” titah Sultan Sharafuddin .
“Beta menyeru dan menasihatkan supaya janganlah tiap-tiap perkara itu dipolitikkan kerana ia akan membebankan rakyat dan melambatkan proses kemajuan.
Beta juga bersyukur dengan limpah kurnia-Nya, Selangor masih berada dalam keadaan aman dan makmur sehingga kini,” tambah baginda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan