Sabtu, 8 Januari 2011

JAIS tterus tingkatkan visi dan misi 1432

SHAH ALAM, 7 Jan – Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang baru, Marzuki Hussin lebih positif dalam menaikkan lagi kualiti perkhidmatan yang diberi oleh Jais kepada pelanggan-pelanggannya selari dengan misi dan visi yang ditetapkan oleh Jais.

“Mana-mana jabatan dia tidak lari, jadi dia ada visi dan misi masing-masing, semuanya ke arah untuk memperkasa dan meningkatkan mutu perkhidmatan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perancangan Jais bagi memperbaiki mutu kerja, beliau akan mengikut panduan Sasaran Kerja Tahunan (SKT) 2011 yang disediakan.

“Saya dah melihat SKT (Sasaran Kerja Tahunan), perancangan SKT tahun 2011, jadi saya dan timbalan, pengarah-pengarah bahagian, kita akan mengikuti SKT itu dan dari masa ke semasa yang mana ada kelemahan dan kekurangan kita akan mempertingkatkannya,” jelasnya.

Hari ini Marzuki telah mempengerusikan Mesyuarat Pegawai Kanan yang pertama sejak melaporkan diri pada awal Januari lepas, bagi menggantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi yang dilantik Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Marzuki, 56, mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Bangi, Kuala Langat sebelum meneruskan pendidikan pada peringkat menengah di Sekolah Tinggi Kajang.

Beliau kemudian melanjutkan pelajaran dalam jurusan pengurusan dan geografi (Pengajian Islam) di Universiti Malaya (UM).

Antara jawatan yang disandang beliau sebelum ini ialah Penolong Pengarah Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA); Penolong Pegawai Daerah, Pejabat Daerah Sepang; Penolong Setiausaha di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan kemudian dilantik sebagai Ketua Penolong Setiausaha di kementerian sama.

Jawatan lain yang pernah disandang beliau ialah Pengarah Khidmat Pengurusan, Jabatan Veterinar, Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) sebelum ke jawatan terakhir iaitu Pegawai Daerah Sabak Bernam.

Beliau adalah anak bongsu daripada 12 beradik dan mempunyai seorang isteri, Shamsiah Md Lajim, 48, yang berkerja sebagai guru serta empat anak.

Pelantikan yang mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan