Selasa, 15 Februari 2011

Pemimpin Wajib Lunas Amanah Rakyat

TUGAS pemimpin politik bukan mudah kerana setiap amanah yang digalas adalah tanggungjawab perlu dilunaskan sebaik mungkin demi memastikan kebajikan rakyat terjamin. Dalam mencapai tujuan murni itu, semua tindakan diambil perlu dinilai sedalam mungkin berlandaskan prinsip menepati janji, bersikap jujur, adil dan saksama.

Peranan politik yang dimainkan pemimpin tidak terhad kepada tugas dalam negara kerana mereka turut dilihat pemimpin lain di peringkat antarabangsa dan apa juga tindakan dilakukan bakal memberi impak kepada kebajikan rakyat serta negara keseluruhannya.




Advertise Here

Oleh itu, peranan pemimpin politik mengekalkan keharmonian dan kemajuan negara penting, lebih-lebih lagi dengan keadaan landskap politik tempatan yang bercorak heterogen (berbilang kaum, tradisi dan agama).

Corak politik antarabangsa yang begitu meluas turut mempunyai pengaruhnya tetapi Islam sudah menggariskan beberapa prinsip penting yang perlu diselusuri pemimpin politik untuk melaksanakan tugas sebagai penentu kebajikan rakyat diwakili.

Pemimpin wajib menepati setiap janji dimeterai baik secara lisan ataupun bertulis. Di peringkat tempatan, janji itu termasuklah ucapan sewaktu berkempen. Manifesto yang dicanang juga adalah jaminan diberikan kepada rakyat, maka seharusnya jaminan itu dikotakan sepenuhnya.

Hak rakyat tidak kira bangsa, agama atau kawasan perlu diberi perhatian. Allah berfirman yang bermaksud: “Kecuali orang musyrikin yang kamu mengadakan perjanjian (dengan mereka) dan mereka tidak mengurangi sesuatu pun (dari isi perjanjian) dan tidak (pula) mereka membantu seseorang yang memusuhi kamu, maka terhadap mereka itu penuhilah janjinya sampai batas waktunya. Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertakwa.” (Surah At-Taubah, ayat 4)

Janji yang ditebarkan perlu mengambil kira keperluan dan kehendak semua kaum. Dalam erti kata lain, pemimpin politik mesti bersikap adil dan saksama dalam menimbang tara keputusan politik yang hendak dibuat.

Firman Allah yang bermaksud: “Hai orang beriman, hendaklah kamu jadi orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah Al-Maa-idah, ayat

Di peringkat antarabangsa pula, janji termasuklah perjanjian ditandatangani ketua negara, baik secara dua hala, berbilang-hala dan perjanjian dalam negara kawasan seperti ASEAN, meliputi perjanjian perdagangan, takrif cukai, sekuriti, kerjasama ketenteraan atau perkongsian teknologi.

Demi memastikan situasi menang-menang, pemimpin perlu berhati-hati dan teliti sebelum memeterai mana-mana perjanjian dengan negara luar supaya kebajikan rakyat terjamin.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan jika kamu khuatir akan (terjadinya) pengkhianatan dari suatu golongan, maka kembalikanlah perjanjian itu kepada mereka dengan cara yang jujur. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang khianat.” (Surah Al-Anfaal, ayat 58)

Pemimpin politik wajib bercakap jujur terutama dalam perkara kritikal membabitkan kepercayaan rakyat kerana kredibiliti seseorang pemimpin bergantung pada kemampuannya meraih keyakinan rakyat.

Keyakinan rakyat dapat diraih melalui sifat kebolehpercayaan ditunjukkan pemimpin. Rakyat semestinya mahu meletakkan harapan mereka pada wakil rakyat yang jujur dan bercakap benar.

Oleh itu, pemimpin harus berhati-hati dalam setiap tutur kata bagi memastikan jaminan kejujuran hadir dalam setiap perkataan yang dilontarkan kepada umum.

Jika seseorang pemimpin itu bukan saja berjaya melaksanakan tugas menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat, bahkan dapat menambat rasa kasih pemimpin di hati rakyat, maka balasannya adalah sangat tinggi dan setimpal di sisi Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Negeri akhirat itu, Kami jadikan untuk orang yang tidak ingin menyombong diri dan berbuat kerosakan di (muka) bumi. Dan (kesudahan yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.” (Surah Al-Qashash, ayat 83)

Sabtu, 12 Februari 2011

Bekalan elektrik kerap terganggu

SEKINCHAN, 11 Feb – Kekerapan terputusnya bekalan elektrik di kawasan Sekinchan, sekitar empat kali dalam tempoh satu minggu, menyebabkan banyak pihak terpaksa menanggung kerugian kerana ia menyebabkan kerosakan barang elektrik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata, pihaknya menerima banyak aduan dan keluh-kesah masyarakat setempat berhubung gangguan bekalan elektrik itu.



“Kita didatangi dan dihujani dengan panggilan telefon tidak berhenti-henti daripada penduduk yang mengadu berhubung masalah ini.

“Mereka turut mempertikaikan keupayaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana kekerapan bekalan elektrik terganggu,” katanya ketika melawat gerbang baru Kampung Nelayan Bagan Sekinchan, di sini, semalam.

Menurutnya, TNB sepatutnya memberikan perkhidmatan yang selesa kerana pengguna membayar caj elektrik yang dikenakan setiap bulan.

“Mereka (TNB) perlu memastikan bekalan elektrik tidak terputus begitu kerap dan pelan perancangan masa panjang dan pendek perlu dilakukan dengan segera untuk menaik taraf bekalan elektrik di Sekinchan,” katanya dipetik dari Sinar Harian.

Suee Lim berkata, jalan masuk ke Kampung Nelayan Bagan Sekinchan diberikan nafas baru dengan menaik taraf pintu gerbang sedia ada sehari sebelum sambutan Tahun Baru Cina.

“Kita menaiktarafkan pintu gerbang ini supaya ianya lebih indah, sempurna dan dapat mencerminkan identiti kampung ini.

“Selain itu dapat membantu pengunjung dan pelancong untuk mengenal pasti lokasi Bagan Sekinchan daripada tersesat,” katanya.

Operasi Piramid berakhir semalam

UBANG, 12 Feb – Operasi Piramid yang dilancarkan kerajaan sejak 2 Februari lalu berakhir secara rasmi jam 3.11 petang semalam dengan ketibaan tiga pesawat C-130 di Pangkalan Udara Subang, membawa kumpulan terakhir 96 pelajar Mesir.

Turut pulang dalam penerbangan berlepas jam 7.30 malam waktu Malaysia, Khamis lalu dari Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah ialah 148 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terbabit dalam misi khas itu selain 31 anggota dari pelbagai agensi serta 14 wakil media.


Sepanjang sembilan hari misi, tiga pesawat berkenaan membuat 18 penerbangan ulang alik membabitkan Jeddah-Kaherah-Jeddah serta Jeddah-Iskandariah-Jeddah, membawa keluar 7,392 rakyat Malaysia termasuk masing-masing 2,150 dan 1,760 menerusi Penerbangan Malaysia (MAS) dan Air Asia.

Sementara itu di ibu negara, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata kerajaan mempertimbangkan Ops Piramid II bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang masih berada di Mesir sekiranya pergolakan politik di negara itu semakin meruncing dan mengancam keselamatan.

Kerajaan Selangor Terus Cemerlang

LANG, 11 Feb - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan, Pakatan Rakyat (Pakatan) bersedia untuk mempertahankan pentadbiran kerajaan negeri berdasarkan prestasi cemerlang yang diperoleh sejak berjaya menawan Selangor pada Mac 2008.

Tan Sri Khalid berkata, Pakatan yang diwakili parti DAP, PAS dan PKR akan bekerja keras dan berjuang dalam menegakkan keadilan rakyat di negeri ini.

“Kita mahu memberikan pulangan hasil-hasil negeri untuk rakyat. sudah tentulah tahun baru ini juga memberikan azam baru bagi kita supaya kita bersama bekerja sebagai satu pasukan, pasukan DAP, PAS dan PKR akan berkerja sebagai satu pasukan yang bertujuan untuk membela rakyat di selangor dan Malaysia,” katanya.

Menurut Khalid, dengan pelaksanaan aktiviti-aktiviti serta program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) pentadbiran Pakatan mampu mempertahankan benteng di negeri Selangor.

“Tahun Baru Cina ini memberi kita inspirasi untuk bekerja keras kerana kami percaya bahawa masyarakat akan memberikan sokongan jika kita melakukan tugas kita secara cekap, adil dan bersih,” ulasnya.

Khalid berkata demikian di hadapan kira-kira dua ribu rakyat yang hadir pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina, semalam, di Jalan Besar, Pandamaran, Klang.

Jelas Khalid, kerajaan negeri memperuntukkan RM 1 juta kepada setiap Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi pembangunan infrastruktur di seluruh kawasan negeri Selangor sebelum ini, sebagai salah satu usaha menaiktaraf kediaman masyarakat setempat.

“Tahun ini kita memperuntukkan 1 juta ringgit kepada setiap DUN yang boleh digunakan oleh Adun Pakatan untuk membuat pembangunan infrastruktur, iaitu membetulkan jalan dan parit di kawasan mereka.

“Kita juga memberi peluang untuk wakil-wakil DUN membuat program mengecat rumah pangsa yang mana ini akan dimulakan awal bulan Mac. Peruntukan lebih 5 juta telah kita peruntukkan,” katanya.

Sementara itu, khalid berkata, pihaknya juga sudah menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri, Hishamuddin Tun Hussien untuk menambah bilangan polis di negeri ini bagi menjaga keselamatan serta keamanan di Selangor.

Selain menyampaikan pemberian ‘ang pau’ kepada masyarakat Cina yang hadir, majlis itu juga turut diceriakan dengan pelbagai persembahan kebudayaan termasuk tarian singa dan naga.

Hadir sama memeriahkan majlis ialah Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam dan beberapa Exco kerajaan negeri Selangor.

Rabu, 9 Februari 2011

Universiti Selangor menggantikan UNISEL

SHAH ALAM, 9 Feb - Universiti Industri Selangor (Unisel) bakal dikenali dengan nama baru iaitu Universiti Selangor bermula 14 Februari ini.

Presiden dan Naib Canselor Unisel Datuk Dr Rosti Saruwono berkata nama baru itu dipilih bagi menyesuaikan trend global dunia pendidikan pada hari ini yang lebih meluas dan tidak hanya tertumpu pada satu bidang.

“Singkatan Unisel masih dikekalkan dan nama baru ini dipilih sempena penjenamaan semula Unisel setelah 11 tahun ditubuhkan termasuk logo baru yang akan dilancarkan pada hari yang sama,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.


Beliau berkata penjenaam semula itu dibuat hasil daripada pandangan dan perbincangan membabitkan semua pihak termasuk tenaga pengajar dan pentadbiran Unisel sejak pertengahan tahun lepas bagi memastikan institusi pengajian tinggi (IPT) itu mampu terus bersaing.

Rosti berkata perkataan ‘Industri’ yang digunakan sebelum ini menimbulkan kekeliruan kepada ibu bapa dan pelajar yang beranggapan Unisel hanya menawarkan kursus berkaitan bidang industri berat dan kejuruteraan.

“Kami mempunyai pelbagai kursus dan merangkumi semua lapangan termasuk Kejururawatan, Komunikasi Massa, Pendidikan dan Fotografi yang ditawarkan kepada pelajar di peringkat diploma dan ijazah pertama,” katanya.

Beliau berkata bidang seperti kejuruteraan, bioteknologi dan teknologi maklumat masih dikekalkan kerana ia antara kursus yang mendapat permintaan tinggi di pasaran pekerjaan.

Selain itu, Rosti berkata Unisel mengutamakan jalinan industri apabila setiap program di universiti itu mempunyai penasihat industri masing-masing bagi mempersiapkan graduan yang memenuhi kehendak pasaran.

“Kita juga menetapkan latihan industri antara enam hingga lapan bulan bergantung kepada bidang pengajian yang diambil dalam usaha memastikan pelajar dapat menyesuaikan diri dengan alam pekerjaan yang sebenar,” katanya.

Ditanya mengenai Canselor Unisel yang baru, Rosti berkata perkara itu bakal diumum bulan ini oleh kerajaan Selangor. Kerusi Canselor Unisel bakal kosong selepas isteri Perdana Menteri DatinSeri Rosmah Mansor mengumumkan pengundurannya pada 20 November lepas.

Elaun guru KAFA di Selangor naik RM300

SHAH ALAM, 9 Feb – Guru kelas agama fardu ain atau KAFA di negeri Selangor mendapat perkhabaran gembira apabila kerajaan negeri memutuskan untuk meningkatkan elaun tambahan guru sebanyak RM300.

Dengan tambahan elaun RM300 ini menjadikan elaun bulanan guru-guru KAFA di SRA dan SRAI di Selangor sebanyak RM1,300 sebulan. Kenaikan elaun ini berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Kelulusan untuk kenaikan elaun itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang diadakan hari ini.

Tambahan elaun ini melibatkan 3,935 guru KAFA yang mengajar di 208 buah SRA dan 11 buah SRAI seluruh Selangor.


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengumumkan perkara ini pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat MMKN berkata, kenaikan elaun bulanan ini akan melibatkan peruntukan tambahan Kerajaan Negeri lebih RM14 juta setahun.

Pada masa ini, guru KAFA di SRA dan SRAI di Selangor menerima elaun sepenuhnya dari Kerajaan Negeri dan Baitulmal sebanyak RM1,000 sebulan atau RM61 juta setahun.

“Kerajaan Negeri berharap kenaikan elaun bulanan ini akan mendorong guru KAFA di SRA dan SRAI berusaha meningkatkan kualiti kerja seharian,” katanya.

Isnin, 7 Februari 2011

Hari Padi 2011

Berita dan gambar akan menyusul esok, insyaallah.